PRN Johor: Terima Prinsip Perjuangan PH Jika Mahu Kerjasama


KUALA LUMPUR - Parti yang ingin menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) perlu menerima prinsip dan landasan perjuangan gabungan itu terlebih dahulu.

Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil, berkata beliau juga percaya parti komponen PH bersikap terbuka untuk menerima kerjasama itu sekiranya syarat berkenaan dipenuhi.

Beliau berkata, kebiasaannya perbincangan dengan parti lain hanya berlaku selepas PH menyelesaikan pengagihan kerusi dalam kalangan komponennya.

"Insya-Allah dalam masa terdekat PH boleh umumkan agihan kerusi dan kebiasaannya bagi PH, langkah pertama ialah menyelesaikan agihan kerusi dalam kalangan parti komponen. Sekiranya ada perbincangan dengan mana-mana parti lain, maka ia akan berlaku selepas itu.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan, yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, berkata persetujuan itu dicapai dalam perbincangan bersama Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, baru-baru ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada petang Sabtu lalu berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada PRN, diadakan.

Mengenai pemilihan calon, manifesto dan penggunaan lambang pada PRN Johor, Fahmi berkata, setakat ini ia belum dimuktamadkan.

"PRN Johor adalah pilihan raya peringkat negeri, jadi PH negeri telah lama berbincang mengenai agihan kerusi dan beberapa persiapan

"Bagi PH di peringkat Pusat, kami akan muktamadkan keputusan mungkin dalam masa terdekat tertakluk kepada perbincangan di peringkat negeri," katanya yang dipetik dari Berita Harian, semalam. - Kedahnews.com