PRN Johor: UMNO Hanya Sasar 42 Dari 56 Kerusi DUN


ALOR SETAR - UMNO hanya akan bertanding 42 kerusi DUN jumlah minimum daripada 56 kerusi keseluruhan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perbincangan mengenai kerusi tersebut masih belum diadakan, namun itu sasaran parti tersebut.

"Kita lihat minimum 42 kerusi, untuk UMNO sahaja, 42 kerusi daripada 56," katanya semalam.

Tambah beliau, meskipun ia masih belum dibincangkan, namun beliau menegaskan UMNO perlu terus bersedia dengan memberikan tumpuan kepada pengundi muda yang bakal mengundi buat pertama kali pada PRN Johor ini.

"Untuk Johor, ada lebih 700,000 (pengundi baharu). Semua orang perlu bekerja keras termasuk UMNO.

"Ini bukan kerja mudah untuk UMNO. Kita tak tahu apa yang akan berlaku," ujarnya yang dipetik dari Awani.

Jelas beliau lagi, walaupun UMNO kini dalam keadaan terbaik, namun parti itu tidak awajar mengambil mudah, sebaliknya menyediakan strategi ampuh perlu dirancang dengan baik kerana setiap pilihan raya tidak sama cabarannya.

"Kita tak boleh kata kita menang besar di Melaka dan Sarawak, kita boleh ambil mudah di Johor.

"Itu sebab dalam setiap pilihan raya, ia berbeza dan kita perlu bekerja keras terutamanya dengan pengundi baharu yang didaftarkan secara automatik.

"Kita tak kenal mereka, kita tak tahu kecenderungan mereka, siapa mereka sokongan, adakah mereka akan keluar mengundi dan sebagainya," tegas beliau. - Kedahnews.com