ALOR SETAR - Remaja yang ditahan kerana mencuri wang masjid sebelum dimandikan seperti jenazah kini tidak perlu menjalani hukuman penjara dan denda yang ditetapkan beberapa hari lalu.
Sebaliknya Daniel Iskandar, 19, hanya diarah melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan.
Memetik laporan BH Online, hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Abdul Halim Aman membuat keputusan tersebut selepas mendengar penghujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.
Daniel pada minggu lalu diberkas orang awam kerana disyaki mencuri wang sebuah masjid di Kuang, Selangor.
Dia kemudian ditahan dan dimandikan seperti jenazah dalam usaha pihak masjid menyedarkannya mengenai kesalahan yang dibuat.
Dalam perbicaraan hari ini pihdak pendakwaan diwakili Norhana Sahat, manakala peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, Fahmi Abdul Moin, Azman Abdullah dan Ilyani Khszairy mewakili Daniel.
Terdahulu tindakan beberapa pegawai masjid memandikan Daniel mencetuskan polemik dengan sesetengahnya menyokong tindakan tersebut manakala yang lain berpendapat sebaliknya.
Ia mula menjadi perhatian selepas rakaman insiden itu ditularkan di media sosial. Kejadian itu berlaku menjelang tengah malam pada 8 Jan.
Remaja terbabit kemudian didakwa di Mahkamah Majistret di Selayang, Selangor pada 13 Jan lalu. Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan kemudian menetapkan tertuduh dihukum penjara 10 hari dan denda RM4,000.Ketua Pemuda PAN, Hasbie Muda, tampil membela remaja itu dengan menegaskan akan membantu membayar denda tersebut.
Menurut liputan media, remaja itu disifatkan datuknya sebagai bermasalah dan berterima kasih kepada AJK masjid kerana membuat laporan polis terhadap cucunya itu. - KNC