ALOR SETAR - Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Awang Hashim, mendedahkan keputusan parti itu menggugurkan Khairuddin Aman Razali daripada badan tersebut dibuat secara sebulat suara.
Bahkan menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia itu, tindakan menyingkirkan bekas menteri itu adalah suatu amalan yang biasa dalam sesebuah organisasi.
Jelas Awang, badan tersebut memang selalu konsensus dalam apa juga hal dan yakin tidak akan berlaku perpecahan dalaman PAS akibat tindakan mengetepikan Khairuddin.
"Ini (pemecatan) perkara biasa. Saya juga berada dalam mesyuarat terbabit pada ketika itu.
"Semua setuju dan akur (keputusan pemecatan)," katanya memetik kenyataannya dari Sinar Online, semalam.
Kata Ahli Parlimen Pendang itu, beliau sendiri pernah diketepikan daripada jawatannya sebagai Setiausaha PAS Kedah sebelum ini.
Namun peristiwa itu menjadi cabaran kepadanya untuk terus memperbaiki diri dan meneruskan langkah politiknya.
Ditanya mengenai punca Khairuddin dipecat, Awang berkata, ia adalah sama seperti apa yang dijelaskan Abdul Hadi sebelum ini.
"Kadang-kadang ada perkara yang kita fikir betul tetapi tidak selari dengan keputusan organisasi atau jemaah," katanya.
Terdahulu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengesahkan jawatan Mohd Khairuddin sebagai AJK lantikan PAS digugurkan atas sebab disiplin.
Pemecatan itu dibuat tidak sampai dua bulan selepas Ahli Parlimen Kuala Nerus dan bekas watak penting dalam kepimpinan PAS Pusat itu dilantik ke jawatan berkenaan.
Khairuddin kalah kerana gagal mendapat undi mencukupi bagi menempatkan dirinya dalam barisan AJK PAS Pusat dalam pemilihan baru-baru ini.
Menurut Abdul Hadi, keputusan pengguguran Mohd Khairuddin itu dibuat parti pada mesyuarat yang diadakan di ibu pejabat parti itu, di Kuala Lumpur. - Kedahnews.com