SUNGAI PETANI - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kuala Muda di sini diarahkan tutup selepas 33 pelajarnya disahkan positif Covid-19.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo berkata, setakat ini, seramai 61 pelajar sudah disaring dan 33 daripadanya didapati positif.
Menurutnya, kes indeks Kluster Dah Jalan Pantai itu dikesan membabitkan seorang pelajar sekolah yang disahkan positif pada 14 Januari lalu.
"Kes positif Covid-19 telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Jitra dan Kulim, manakala kontak rapat menjalani kuarantin di asrama.
"Kontrak rapat juga telah diarahkan menjalani kuarantin dan dinasihatkan melakukan saringan sekiranya mempunyai gejala," katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, sekolah terbabit diarahkan tutup mulai Isnin sehingga ke suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian.
"Tarikh pembukaan sekolah akan ditentukan berdasarkan perkembangan selanjutnya," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 99 pelajar asrama Maktab Mahmud Tobiar, Pendang, Kedah disahkan positif Covid-19 melibatkan Kluster Dah Penyarom.
Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, kes positif itu mula dikesan selepas terdapat beberapa pelajar perempuan mengalami gejala batuk dan demam. - SH