Umrah Tak Lengkap Vaksin, MATTA Sangkal KJ



KUALA LUMPUR - Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyangkal kenyataan yang dikeluarkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang menyatakan jemaah yang tidak lengkap divaksin dijangkiti Omicron setelah pulang dari mengerjakan ibadah umrah.

Naib Presiden Umrah & Haji MATTA, Mohd Azri Abd Razak berkata, perkara ini dianggap mustahil kerana pengendali syarikat umrah telah mematuhi syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) bagi perjalanan umrah yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kerajaan Saudi.

“Pihak MATTA meminta pihak kementerian menyiasat perkara ini dan tidak menuding jari kepada syarikat pengendali umrah.

“Kenyataan Menteri Kesihatan itu mempunyai implikasi yang serius terhadap sistem visa Kerajaan Saudi sekali gus memburukkan pandangan masyarakat terhadap penggiat industri umrah di Malaysia.

“Kaunter imigresen dan kawalan keselamatan di lapangan terbang merupakan tempat semakan terakhir status vaksinasi bagi setiap pelancong atau jemaah ke luar negara.

“Jadi, mana-mana pihak yang terlibat harus dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari Awani.

Berkaitan tentang isu penangguhan umrah sementara yang diumumkan oleh Khairy selama satu bulan bermula 8 Januari, Azri mahu kerajaan mempertimbangkan semula langkah tersebut kerana ia memberi kesan negatif kepada agensi pelancongan dan jemaah sendiri.

“Pakej umrah yang terkini perlu dikaji semula kerana akan ada kos tambahan yang perlu ditanggung oleh agensi pelancongan mahupun jemaah pada masa akan datang.

“Sehubungan dengan itu, MATTA menyarankan agar Menteri Kesihatan mempertimbangkan semula pelaksanaan penangguhan umrah.

“Kerajaan harus bertanggungjawab atas kerugian yang bakal ditanggung oleh jemaah yang sedang menunggu giliran untuk menunaikan umrah,” ujarnya lagi.

Pihak MATTA pada masa sama bersedia untuk berjumpa dengan pihak KKM atau pihak berwajib untuk berbincang dan mencari jalan terbaik agar dapat mengurangkan penularan varian Omicron dan memastikan punca pendapatan agensi pelancongan tidak terkesan. - Kedahnews.com