Video Sudah Dipadam, Tapi Siasatan Tetap Dijalankan - PDRM


IPOH - Polis telah mengenal pasti individu yang memuat naik video siaran langsung di sebuah kedai menjual pelbagai senjata di Sayong Lembah, Kuala Kangsar yang mendakwa bakal berlaku perhimpunan ulama dan kemunculan Imam Mahdi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan masih diteruskan meskipun video berkenaan sudah padam oleh pemilik akaun Facebook terbabit.

"Video itu sudah dipadam dan kita tidak lagi boleh diakses tetapi siasatan akan tetap dilakukan.

"Tuan punya kedai pun tidak mengetahui isu ini kerana dibuat oleh orang lain namun, kita sudah kenal pasti subjek yang memuat naik video itu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Isnin.

Sinar Harian Jumaat lalu melaporkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung video individu ketika mengunjungi sebuah kedai yang menjual pelbagai senjata antaranya pedang dan keris.

Menurut Mior Faridalathrash, siasatan berkaitan tular menggunakan rangkaian tidak wajar ini akan dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menerusi siaran langsung durasi lapan minit 56 saat itu, individu terbabit memberitahu bakal berlaku sebuah perhimpunan dihadiri hampir 300 ulama untuk menyaksikan kebangkitan khalifah ALLAH iaitu Imam Mahdi.

Dia turut meminta agar orang ramai mempersiapkan diri dengan busur panah dan pedang bagi menyahut seruan jihad daripada Imam Mahdi. - SH