MB PAS Kedah Dibidas Pedas, Hanya Runtuhkan MN


ALOR SETAR - Gara-gara mengeluarkan kenyataan politik di Johor, Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mohammad Sanusi Md Nor dibalas dengan kritikan oleh ramai pemimpin dan tokoh UMNO di negeri Kedah.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Dato' Hashim Jahiya dalam kenyataannya awal hari ini membariskan bidasan-bidasan pedas terhadap MB Kedah itu.

"Segala tohmahan MB Kedah itu bagaikan alasan untuk mencari helah meruntuhkan MN, bukan mengukuhkan MN,

"Setelah mengeratkan silaturrahim bersama UMNO-BN di PRK Tanjung Piai tempohari, sudah tentu ramai penyokong PAS yang keliru apabila MB Kedah ajar berkelahi dengan UMNO-BN, sebaliknya menyeru untuk menyokong PPBM yang menipu mereka hidup-hidup pada PRU ke-14 lalu." katanya yang dipetik dari laman rasmi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah itu.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri pula membidas dengan mengkritik kenyataan MB Kedah itu seolah "dayus" dan mencabar beliau supaya membubarkan DUN Kedah segera.

"Beliau 'dayus' kerana tidak berani berkata sedemikian terhadap 2 Adun wanita BN secara berdepan, sebaliknya berkata begitu ketika beliau berada di negeri paling selatan negara, 

"Malah (MB Kedah) bersifat provokasi seolah olah tiada lagi keikhlasan untuk meneruskan Muafakat Nasional" bidas beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan Pemuda UMNO negeri Kedah.

Sementara itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Merbok, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, PAS tidak wajar berlagak angkuh dan tidak berpandukan nafsu emosi politik walaupun pada musim pilihanraya.

"PAS harus berhenti berlagak sombong,

"Saya harap YAB Menteri Besar melihat kembali keadaan ini, dengan berdasarkan fakta dan realiti semasa. Bukannya dipandu oleh emosi yang dilampiaskan sesedap rasa menjelang musim pilihanraya," katanya.

Selain itu, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kulim Bandar Baharu, Hazril, pula "berleter", turut membidas Sanusi di laman Facebooknya.

"Kacang lupakan kulit bahasa yang sesuai untuk MB Kedah setakat ini kerana ungkapan yang dikeluarkan dari mulut beliau sendiri jelas menjukkan beliau tak pernah peduli pun hubungan dengan UMNO Kedah selama ini," tulisnya.

Kenyataan MB Kedah itu turut mendapat kritikan dari pimpinan UMNO pusat seperti Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Hamdan Sufian dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO, Dato' Seri Ahmad Shabeery Cheek, yang menyindir pedas Sanusi.

"Harap kawan-kawan tak cepat berkecil hati. Dulu pun saya ada kawan yang suka cakap bukan-bukan bila cinta tak berbalas," tulis beliau yang dipetik dari laman Facebooknya.

Suasana hubungan MN di negeri Kedah selama ini dilihat harmoni mentadbir bersama Kerajaan Negeri Kedah.

Namun hubungan UMNO dan PAS di Kedah itu dilihat keruh tercemar hari ini setelah Sanusi mengeluarkan kenyataan tersebut dalam satu majlis Perikatan Nasional (PN) di Johor. 

Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri dalam kenyataan terbaru beliau juga menyatakan kenyataan MB Kedah itu tidak betul. -Kedahnews.com