Ban MADA Pecah: Hujan Lebat 8 Mei Jadi Punca


ALOR SETAR - Hujan lebat yang turun pada 8 Mei 2022 lalu di kawasan tadahan dan di dataran menyebabkan aliran tidak terkawal dan peningkatan paras air dari tadahan Sungai Padang Terap mengakibatkan berlaku kejadian runtuhan ban petang semalam.

Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, peningkatan kadar turunan hujan ini menyebabkan kenaikan paras air hulu dan hilir di Struktur Alator Pelubang, yang mana paras tersebut telah melebihi paras limpah di Alor Limpah Lengkuas Sifon pada paras 8.01 meter (m).

"Situasi terbabit menyebabkan kegagalan struktur alur limpah di Sifon Lengkuas.

"Kejadian ini dijangka akan memberi kesan kepada penggunaan bekalan air terawat penduduk sekitar," katanya yang dipetik dari media arus perdana.

Oleh itu, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan melaksanakan tindakan kecemasan segera berikutan kejadian runtuhan ban kanan terusan tengah yang berlaku di Struktur Alor Limpah, Sifon Lengkuas MADA sekitar jam 12.15 tengah hari, semalam.

Jelas beliau lagi, MADA bersama Syarikat Air Darul Aman (SADA) telah melakukan tindakan segera dengan menjalankan kerja-kerja pembinaan sekatan sementara di dalam Sungai Bukit Pinang bagi mengawal paras air di dalam Terusan Tengah supaya operasi loji rawatan air SADA tidak terjejas.

Selain itu katanya, kerja-kerja pembaikan ban sementara akan dijalankan pada malam Isnin oleh kontraktor yang dilantik oleh pihak MADA dalam tempoh segera.

Dijangka sebanyak 75,000 akaun pengguna SADA di Kota Setar dan Pokok Sena dikhuatiri terjejas akibat ban MADA dan terusan tengah di Sungai Santap, Pokok Sena, di sini, pecah. - Kedahnews.com