Tragedi Ban MADA Pecah, Dijangka 75,000 Akaun SADA Terjejas


ALOR SETAR - Ekoran ban Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan terusan tengah di Sungai Santap, Pokok Sena telah pecah petang semalam, dijangka sebanyak 75,000 akaun pengguna Syarikat Air Darul Aman (SADA) di daerah Kota Setar dan Pokok Sena dikhuatiri terjejas.

Difahamkan, sebanyak 60,000 akaun membabitkan pengguna di kawasan Kota Setar dan 15,000 akaun lagi di kawasan Pokok Sena.

SADA dalam satu kenyataan berkata, tugas Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Pinang terpaksa dihentikan susulan kerja-kerja kecemasan akibat kejadian tersebut.

"Gangguan air bermula jam 4.15 petang pada Isnin di daerah Kota Setar dan daerah Pokok Sena.

"Tempoh gangguan air ini akan selesai sehingga kadar aliran sungai dan paras sungai kembali normal," katanya.

Selain itu, seluruh daerah Pokok Sena juga dilaporkan mengalami gangguan manakala lebih 70 kawasan terjejas di daerah Kota Setar.

Antara kawasan di Kota Setar yang terjejas adalah seluruh pekan Langgar, Kampung Besar, Kubang Teduh, Permatang Kong, Kampung Telok Jawa, Kampung Huma, Penjara Alor Setar dan Taman Nuri. - Kedahnews.com