Dalam usia 62 tahun, langkah pelakon veteran, Aznah Hamid tidak lagi rancak di mana wajah jarang menghiasi kaca televisyen (TV).
Aznah memulakan melangkah dalam bidang lakonan dalam usia seawal 12 tahun masih menerima tawaran lakonan, namun, tidak selebat suatu ketika dahulu.
Andai tawaran dihulurkan memuaskan hati dan kena pada waktu, ibu kepada tiga cahaya mata dan seorang cucu itu pasti tidak menolak.
Namun, Aznah mendedahkan, dia tidak dapat mengelak tawaran tidak masuk akal selepas lebih lima dekad menabur bakti dalam industri seni.
"Jujurnya, saya pernah ditawarkan harga kurang memuaskan, mungkin fikir saya hanyalah pelakon veteran. Walaupun begitu, ia bukan bermakna syarikat produksi boleh menurunkan harga sesuka hati.
"Biasanya, saya malas bersoal jawab. Saya akan tolak dengan cara baik dengan memberikan alasan terikat dengan komitmen lain.
"Itu juga bukan bermakna saya letak harga. Saya akan terima sekiranya harga ditawarkan dipersetujui kedua-dua pihak," katanya kepada BH Online.
Pernah bergandingan dengan hero Bollywood, Rajinikanth menerusi filem Tamil berjudul Priya pada 1979, Aznah berkata, pelakon era kini sangat bertuah menerima bayaran yang tinggi.
Malah, katanya, generasi muda hari ini juga bukan sekadar berlakon, malah, berpeluang menjana pendapatan menerusi cabang lain seperti membuat ulasan produk atau dilantik sebagai duta.
"Zaman dahulu upah diterima tidaklah tinggi. Namun, kami tetap bekerja bersungguh-sungguh disebabkan minat.
"Kami tidak pernah mengejar wang, sebaliknya karya. Memang diakui duit penting, tetapi kami lebih mengutamakan karya berbanding memikirkan soal duit.
"Berbeza zaman sekarang ramai pelakon hanya mengejar wang. Tetapi, saya juga faham bidang seni mungkin pekerjaan sepenuh masa.
"Jadi, kena kuat bekerja, lebih lagi, harga barang melambung dan mencabar," katanya.
Ibu kepada pelakon Sheera Iskandar itu berkata, dia hanya mahu menitipkan nasihat kepada generasi muda.
"Ketika dikenali dan popular, belajar beringat. Ceburkan diri dalam bidang perniagaan atau cari sumber lain yang boleh dijadikan sebagai jaminan masa depan.
"Ini kerana kita tidak tahu berapa lama boleh bertahan. Tak semua pelakon bertahan sehingga usia senja.
"Ada juga cuma bertahan untuk satu dua produk, jadi perlulah sentiasa beringat," katanya.
Menyentuh pembabitan dalam bidang lakonan, Aznah berkata, dia terjebak dalam dunia lakonan atas dorongan adik-beradiknya ketika berusia 12 tahun.
Bagaimanapun, kata Aznah, dia mulanya gemar menyanyi dan sering menghiburkan tetamu berkunjung ke rumah.
"Saya lebih suka menyanyi. Saya akan disuruh menyanyi apabila rakan-rakan abang dan ipar duai datang ke rumah.
"Ada menawarkan saya merakamkan lagu, tetapi, saya lebih cenderung dalam bidang lakonan.
"Saya lebih yakin berlakon kerana tidak perlu menghadap kamera secara berdepan," katanya.
Pelakon filem Dia Ibuku, Penyamun Tarbus dan Sesejuk Air Mata Ibu itu berkata, dia pernah beberapa kali pergi uji bakat di Cathay Keris, tetapi gagal disebabkan pemalu.
"Selepas beberapa kali gagal, saya buat keputusan menyertai teater dan kebudayaan.
"Dari situ, saya menyertai pelbagai bengkel sehingga ditawarkan berlakon drama di bawah Yusof Latiff sebagai tenaga pengajar. Ketika itu, usia saya baru 13 atau 14 tahun," katanya.
Namun, Aznah berkata, kerjanya berada di kemuncak apabila beroleh peluang bergandingan dengan Rajinikanth.
"Dahulu, nama saya pasti dihantar sekiranya ada uji bakat untuk filem luar negara. Siapa sangka, saya berjaya berlakon di sisi Rajinikanth.
"Bukan tempelan, tetapi saya diberikan watak heroin.
"Selain saya, filem Priya turut dibintangi aktres Bollywood terkenal, Seri Dewi yang juga salah seorang heroin.
"Tentunya saya berbangga dapat bergandingan dengan bintang Bollywood terkenal itu," katanya.
Filem Priya diterbitkan dalam dua versi iaitu Kanada dan Tamil. Bagaimanapun, Aznah dan Rajinikanth bergandingan dalam versi Kanada.
Selain Priya, Aznah pernah ditawarkan berlakon di Hollywood dan membintangi sinetron Indonesia, namun, terpaksa ditolak kerana membuat keputusan berkahwin awal ketika kemuncak kerjaya.
Aznah mendirikan rumah tangga dengan Tengku Iskandar Putra Tengku Long Ahmad pada 1981 ketika berusia 18 tahun, namun, perkahwinan hanya bertahan selama lima tahun.
Kali kedua bersama aktor, Sabree Fadzil pada 1988 juga tidak mampu diselamatkan apabila berpisah pada 1993. - BH online