Bila Air Keruh: PAS Kedah Sangat Kukuh - Presiden PAS


ALOR SETAR - Parti-parti politik lain boleh bungkus barang dan tidak mungkin dapat menggugat kedudukan PAS di negeri Kedah ekoran kenyataan Presiden PAS mengenai kedudukan semasa partinya di sini.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Al-Fadzil Ustaz Abdul Hadi Awang menegaskan pimpinan dan kedudukan PAS di negeri Kedah sangat kukuh pada masa ini.

Ulama terbilang dunia ini berkata demikian susulan pertemuan yang diadakan dengan pimpinan Badan Perhubungan PAS negeri Kedah baru-baru ini.

Turut kelihatan hadir dalam pertemuan itu ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Ustaz Ahmad Yahya dan Timbalannya yang juga Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Noor.

"Saya turun bertemu dengan pimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah semalam, mendengar laporan gerak kerja PAS Kedah dan prestasi kerajaan negeri Kedah.

"Kedudukan PAS di Kedah sangat kukuh dan kuat, dengan keutuhan pimpinan dan dukungan akar umbi yang tidak berbelah bahagi, sama ada dari sudut komitmen tenaga dan sumbangan ahli.

"Teruskan perjalanan, semoga terus mendapat berkat dan pertolongan daripada Allah SWT dalam memimpin rakyat negeri Kedah, nikmat untuk semua," memetik kata pentadbir laman Facebook Abdul Hadi.

Baru-baru ini seorang pembantu kepada Menteri Besar Kedah itu menyangkal dakwaan bahawa menteri besar Kedah itu bakal digantikan berikutan kegagalan menangani isu banjir di Baling.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man melahirkan kebimbangan mengenai suasana perpaduan dalam kalangan ahli dan pimpinan parti itu.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Menteri Alam Sekitar itu berkata terdapat kenyataan yang dibuat terhadap pimpinan PAS dilakukan tanpa adab dan hikmah.

"Bila air keruh, hentilah sementara untuk bagi masa air tenang dan jernih semula. Biarlah sekadar kocak-kocak air yang tidak mengeruhkan keadaan dan merosakkan ukhuwah jamaah.

“Kalau berlumba, wahai sahabatku, biarlah hanya ke arah menambahkan kebaikan dan saling memperkukuhkan jamaah,” katanya.