ALOR SETAR - Setelah isu "busuk dan kotor" di Kampung Sungai pada Jumaat lalu, Pegawai Khas Exco Penerangan Kedah, Mohd Firdaus Salleh tampil menjelaskan punca utama pencemaran yang berlaku.
Katanya, punca utama terjadinya pencemaran ini disebabkan kedudukan tong sampah besar yang jauh dari komuniti di sini.
"Sebenarnya permohonan tong sampah besar telah diluluskan oleh pihak Majlis Bandaraya Alor Setar sebelum ini, namun disebabkan ada tentangan dari beberapa penduduk, ia tidak dapat di letakkan sehingga kini," memetik kenyataannya dari Urus Setia Penerangan Darul Aman - UPDA, semalam.
Hadir meninjau di lokasi berkenaan, Mohd Firdaus Salleh turut menjelaskan tentang solusi permasalahan yang menjadi kerunsingan penduduk di situ.
Tambahnya lagi, diperingkat Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Bukit Pinang akan mencari lokasi yang sesuai dengan kadar segera bagi membantu penduduk menguruskan sisa pepejal ini.
Penduduk Kampung Sungau sebelum ini menyuarakan rasa hati mereka terhadap masalah pencemaran bau busuk dan kotor apabila kawasan berhampiran perumahan mereka dijadikan tempat pembuangan sampah.
Sikap tidak bertanggungjawab penduduk dengan mengambil mudah melupuskan sampah dengan hanya melonggokkan sampah dan sisa makanan di tepi jalan ternyata mencemarkan bau dan persekitaran.
“Bau busuk di bawa angin sampai ke rumah kami,” begitulah keluhan wakil penduduk ketika ditemui akhbar, pada Jumaat lepas. - KNC