Kedah Bakal Maju Jika Sanusi Jadi MB Sepenggal Lagi


Spekulasi yang mengatakan konon akan berlaku pertukaran jawatan Menteri Besar di Kedah adalah satu dakyah jahat yang cuba menurunkan populariti Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor.

Ini adalah kerana Muhammad Sanusi dilihat sebagai Menteri Besar terbaik di negeri Kedah, malah lebih popular berbanding Menteri Besar PAS terdahulu, Allahyarham Tan Sri Ust Azizan Razak.

Muhammad Sanusi dikatakan Menteri Besar Kedah paling hebat ekoran kejayaannya menarik pelaburan berjumlah RM68.3 bilion ke negeri ini, satu pencapaian yang tidak dapat ditandingi arwah Ustaz Azizan ketika mentadbir negeri Kedah.

Selaku Menteri Besar Kedah yang mempengerusikan Syarikat Air Darulaman (SADA), beliau telah mengambil alih secara penuh segala keputusan berkaitan syarikat GLC itu dari Exco Kerajaan Negeri yang dilantik bagi portfolio berkenaan.

Mengetuai segala hal ehwal pengurusan dan operasi SADA sepenuhnya, Muhammad Sanusi berjaya menamatkan kesengsaraan rakyat Kedah yang selama ini berdepan masalah bekalan air.

Lebih bijak, secara tidak langsung, sekiranya berlaku masalah bekalan air bersih di negeri Kedah, beliau memiliki Exco Kerajaan Negeri untuk dijadikan "kambing hitam" bagi menerima segala kemarahan rakyat Kedah terhadap kepimpinannya.

Selain itu, pembangunan di negeri Kedah pesat membangun dengan kadar pertumbuhan ekonomi negeri yang sangat membanggakan dan pelancaran Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang dikatakan sebagai ilham kebijaksanaan Muhammad Sanusi sendiri.

Sekiranya diberi mandat untuk mentadbir negeri Kedah untuk sepenggal lagi, negeri ini dijangka akan lebih makmur dengan bangunan-bangunan pencakar langit, jutaan peluang pekerjaan dan jumlah pelaburan yang mungkin mencecah lebih RM150 bilion.

Turut dijangka, Muhammad Sanusi akan memperkasa lagi jaringan pengangkutan awam termasuk mewujudkan tren berkelajuan tinggi (HSR) bagi kegunaan domestik, bagi memudahkan akses jaringan perhubungan hingga ke sempadan Bukit Kayu Hitam.

Kedah dijangka lebih maju dan berjaya dibawah pentadbiran Muhammad Sanusi.