Sanusi Bawa Langkawi Jadi Pulau Terbaik Di Asia Tenggara


ALOR SETAR - Biarpun baru menjadi Menteri Besar Kedah kira-kira 2 tahun, Dato' Seri Muhammad Sanusi wajar dipuji sebagai Menteri Besar Kedah terbaik ekoran kejayaannya mengharumkan nama Langkawi di persada dunia.

Pujian ini wajar diberikan rakyat Kedah pada Muhammad Sanusi ekoran kejayaan Langkawi merangkul anugerah peringkat antarabangsa 'Asia Best Awards 2022' dan diiktiraf satu daripada Pulau Terbaik di Asia Tenggara baru-baru ini.

Memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib, anugerah itu membuktikan usaha dan dedikasi berterusan pihaknya terutama sepanjang pandemik iaitu semasa ketibaan pelancong ke pulau itu berada pada tahap kurang memuaskan.

Katanya, kejayaan manis itu turut diiringi berita gembira apabila Four Seasons Resort Langkawi turut menerima anugerah The Best Beach and Upcountry Hotel in Malaysia 2022.

Nasaruddin berkata, sebagai agensi perintis dalam pembangunan pelancongan Langkawi, LADA memainkan peranan penting untuk menjadikan Langkawi destinasi pelancongan bertaraf dunia yang terkenal seperti sekarang.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menjangkakan ketibaan lebih ramai pelancong antarabangsa berpotensi menggiatkan semula ekonomi dan merangsang pendapatan masyarakat setempat.

"Bagi merealisasi hasrat ini, kami memberi tumpuan kepada empat komponen utama iaitu Pelancongan Leisure (Antarabangsa & Domestik), Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) dan Acara Pelancongan.

LADA diterajui oleh Muhammad Sanusi selaku Pengerusi Lembaga Pengarah dan diterajui bersama Dato' Mohd Shuhaimi Abdullah yang juga merupakan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia. - KNC