Kerajaan Malaysia masih gagal terbentuk sehingga hari kedua selepas tamat Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November lalu.
Terbaru, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan merendah diri menegaskan bahawa BN telah ditolak majoriti rakyat dan tewas pada PRU ke-15.
Justeru katanya, BN tidak memiliki kuasa atau layak untuk menubuhkan kerajaan sebagaimana yang diharapkan, sekali gus tidak wajar dipersalahkan lagi oleh mana-mana pihak.
"Kalau masih tak dapat juga tubuh kerajaan, tolong jangan salahkan kami.
"Ini hasil daripada proses yang demokratik, untuk memulangkan mandat kepada rakyat. Kami hanya menghormati keputusan itu," katanya yang dipetik dari BH Online.
Sebaliknya, Mohamad memohon agar tanggungjawab membentuk kerajaan baharu Malaysia digalas oleh parti yang mendakwa mereka menang besar pada PRU ke-15 kali ini, dan BN akan kekal sebagai pembangkang di Dewan Rakyat.
"Mereka mendapat bilangan nombor undi yang lebih tinggi.
"BN bersedia menjadi pembangkang yang bertanggungjawab 'check and balance' kerajaan baru," katanya.
PH memenangi 82 kerusi, PN 73, BN 30, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23 dan Parti Warisan 3 kerusi. - Kedahnews.com