Kerajaan Perpaduan: "Pengerusi PN Tidak Memberangsangkan" - Anwar


ALOR SETAR - Perdana Menteri ke-10, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kecenderungan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bersama menyertai Kerajaan Perpaduan Nasional adalah tidak memberangsangkan pada peringkat awal ini.

Meskipun begitu, beliau tetap menanti PN untuk menyertai gabungan pembentukan kerajaan yang baru dibentuk bersama pelbagai parti ini.

"Saya tetap bersedia menerima semua yang lain. Saya menunggu kesediaan rakan-rakan termasuk Perikatan Nasional (PN) walaupun kenyataan Pengerusi PN peringkat awal tidak memberangsangkan," kata Anwar pada sidang medianya semalam.

Menurut Anwar, tiga komponen utama gabungan kerajaan kini adalah terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sebelum itu, Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan cadangan kepada PH dan PN untuk bersama membentuk Kerajaan Perpaduan bagi membawa kestabilan pentadbiran di negara ini.

Namun, Muhyiddin dalam kenyataannya menolak cadangan Yang Di-Pertuan Agong, enggan bertolak ansur mengenepikan perbezaan pandangan politiknya. - Kedahnews.com