Kesilapan Besar PN, Punca PM Ke-10 Dari PH - #SudutPandang


Setinggi tahniah diucapkan kepada Ahli Parlimen Tambun, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, menerajui Kerajaan Perpaduan inisiatif Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, setelah keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 19 November lalu membuntu. Menjunjung kasih Tuanku.

Namun di sebalik perlantikan Anwar sebagai PM ke-10, sudah tentu ada yang seolah kurang senang di hati, khususnya pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang berpandangan mereka menang dan memiliki majoriti mudah di Dewan Rakyat.

Mungkin kerana ketidakpuasan hati, maka Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendesak agar Anwar membuktikan beliau memiliki akuan bersumpah (SD) yang cukup bagi membuktikan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri.

Mungkin juga terlupa pada kuasa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong pada, Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Muhyiddin membuat desakan tersebut sejurus selepas Anwar mengangkat sumpah.

Pada masa yang sama, Muhyiddin mungkin lupa pada Akta Lompat Parti dan senario 10 SD Ahli Parlimen yang cuba dicuri beliau dari BN serta 23 SD dari Ahli Parlimen GPS juga telah ditarik balik.

Pun begitu, mungkin kesilapan terbesar PN adalah menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri PN, bukan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Sedangkan, pemimpin PAS adalah jauh lebih layak untuk dipilih sebagai calon PM mewakili PN berdasarkan senioriti, pengalaman dan dasar hala tuju parti tersebut berbanding PPBM.

Dasar dan pendekatan PAS adalah jelas berevolusi, tidak lagi bersifat ekstrim seperti dahulu serta bersifat lebih inklusif, bukan lagi eksklusif. 

Ini berbeza dengan PPBM yang baru ditubuhkan, kabur dasar hala tuju dan hanya dikenali sebagai segelintir individu yang tidak berpuas hati kepada Najib Razak, malah kini terbelah dua lagi melahirkan pasti serpihan, Pejuang.

PAS juga sebelum ini menjalin hubungan dan kerjasama yang baik dengan UMNO/BN, ketika mana PPBM pada waktu tersebut sedang leka bersuka ria mengepalai Kerajaan PH yang bertahan selama 22 bulan.

Sebagaimana yang diketahui, BN sememang berseteru besar dengan PPBM dan melabel mereka sebagai sekumpulan pengkhianat, seperti mana PAS melabel Amanah sebagai pengkhianat, penderhaka dan sebagainya.

Jadi, mana mungkin UMNO rela dan bersetuju mengangkat pengkhianat sebagai PM, apatah lagi sikap Muhyiddin yang angkuh selepas 17 bulan sebagai PM, insiden "scheme of things" dan menghambur pelbagai kata kesat terhadap UMNO/BN.

Diyakini bahawa UMNO/BN mungkin akan bersetuju menyokong calon PM dari PN sekiranya TGHH atau Tuan Ibrahim yang dipilih. Manakala sokongan dari GPS kepada PN mungkin boleh diuruskan oleh UMNO/BN kemudiannya.

Strategi moral tersebut mungkin tidak disedari oleh PAS. Kelemahan yang dilihat remeh seperti itu sebenarnya memberi impak besar, mengakibatkan PN terlepas peluang berperanan sebagai Kerajaan.

Nasi sudah menjadi bubur. PM ke-10 sudah pun sah dilantik. Selamat mentadbir negara kepada Kerajaan Perpaduan. Manakala PN, bermuhasabahlah atas kehendak Allah pasca PRU ke15 ini. 

Wallahu'alam.

Awang Kenit