ALOR SETAR - Pemimpin Perikatan Nasional (PN) seolah terlewat untuk dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam kabinet Kerajaan Perpaduan Nasional.
Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, mengatakan jawatan tersebut mungkin akan diberikan kepada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang berjiwa besar menyertai gabungan kerajaan, pasca Pilihan Raya Umum ke-15 kali ini.
"Ini melibatkan kerajaan perpaduan... bagi ruang untuk kami berbincang dulu.
"Jawatan timbalan perdana menteri biasanya daripada komponen kuat yang lain (selain PH), setakat ini dari BN.
"Dan Sabah, Sarawak... komponen terkuat Sabah dan Sarawak ialah GPS," kata Anwar dalam sidang medianya, semalam.
Jelas beliau, jawatan tersebut diberikan kepada BN (30 kerusi) dan GPS (22 kerusi) ekoran kedudukan dua parti tersebut adalah terkuat dalam kalangan parti gabungan tersebut, selain Pakatan Harapan yang memiliki 82 kerusi.
Jawatan Timbalan Perdana Menteri dijangka bakal disandang pemimpin PN ekoran parti yang dianggotai PAS, PPBM dan Gerakan itu memiliki 73 kerusi Parlimen.
Malangnya, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk membentuk Kerajaan Perpaduan bersama parti lain.
Muhyiddin semalam turut mencabar Anwar untuk membuktikan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri. - Kedahnews.com