KUALA LUMPUR - Para pengguna media sosial diingatkan tidak menyalahgunakan platform tersebut bagi menyebarkan kandungan menghasut yang boleh membawa kepada keresahan orang ramai.
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sejak keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diumumkan, polis mengesan pelbagai bentuk kandungan yang menyentuh sentimen perkauman dan agama serta menghina institusi diraja melalui media sosial.
"Polis Diraja Malaysia memberi peringatan dan penegasan kepada pengguna media sosial agar mengekang diri daripada menyalahgunakan platfom itu.
"Jangan menyebar kandungan bersifat provokasi yang boleh mengakibatkan kegusaran orang awam," katanya dalam kenyataan malam tadi yang dipetik dari BH Online.
Acryl Sani berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan sebarang situasi mengancam keselamatan dan mengganggu ketenteraman awam. - Kedahnews.com