Rakyat Beri Undi Pada PN Kerana Tolak PH, BN


ALOR SETAR - Penolakan rakyat, khususnya orang Melayu terhadap Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah memaksa mereka untuk memberikan undi kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, rakyat bukan berikan undi kepada parti yang mereka gemari, sebaliknya penolakan terhadap PH dan BN.

"Rakyat telah memberi undi bukan kepada parti yang mereka suka, tetapi lebih kepada menolak pimpinan kita (BN) yang mereka tak suka," katanya yang dipetik dalam satu wawancara eksklusif dengan Suara.TV, semalam.

Kata Annuar, orang Melayu khususnya serik untuk memilih PH, namun tidak suka kepada BN yang dicemari imejnya akibat dipimpin individu yang tidak digemari.

"Pengundi Melayu jelas, pada trend yang mereka tidak suka kepada PH, (seperti) PKR, DAP dan sebagainya.

"Mereka tak suka pada UMNO, tak suka pada BN. Mereka jangka, jika diberi (undi) kepada BN, maka individu tertentu akan menguasai (kerajaan) selepas itu. Maka mereka menolak (UMNO/BN).

"Mereka (pengundi Melayu) terpaksa lambakkan undi mereka kepada PN," katanya.

Meskipun begitu, Annuar turut menjelaskan bahawa kebanyakkan pengundi yang memberi undi kepada PN bukanlah penyokong fanatik parti tersebut. 

"Tetapi mereka juga bukan fanatik, (tidak) menjadi penyokong kuat PN," jelasnya.

Annuar sebelum itu menyuarakan pendiriannya menuntut Presiden UMNO, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan bagi membersihkan UMNO dan mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan terburuk BN pada PRU ke-15 baru-baru ini. -Kedahnewscom.