RAKYAT PERLU TERIMA KEPUTUSAN RAKYAT, WAKIL RAKYAT DAN YDPA - AGONG


ALOR SETAR - "Rakyat perlu menerima segala keputusan yang dibuat oleh rakyat, wakil rakyat dan Yang Dipertuan Agong.

"Itu sahaja, biar saya buat keputusan dalam masa terdekat ini," itu titah terbaru Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Seri Paduka Baginda bertitah, baginda akan membuat keputusan berkaitan pelantikan Perdana Menteri ke-10 dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, baginda menitahkan rakyat untuk memberi masa kepada baginda dalam membuat keputusan berkenaan.

Baginda juga mengingatkan supaya rakyat bersabar dan bersifat rasional selain perlu bergerak ke hadapan untuk negara tercinta, titah baginda ketika bertemu pengamal media di hadapan pintu dua, Istana Negara, hari ini.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda yang memandu sendiri kenderaan utiliti sukan (SUV) Hyundai berwarna putih memasuki pintu dua Istana Negara sekitar jam 2.20 petang.

Dalam masa sama, baginda bertemu petugas media dan mengingatkan rakyat untuk terus bersabar.

"Saya baru balik, nak tengok siapa ada majoriti, mudah-mudahan Insya-Allah," jelasbaginda, memetik BH Online.

PRU15 Sabtu lalu berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan. Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi.

Keputusan PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi; Perikatan Nasional 73 kerusi; Barisan Nasional (30); Gabungan Parti Sarawak (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Susulan itu, penganalisis politik dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata Yang di-Pertuan Agong mungkin perlu melantik seorang Perdana Menteri bagi membentuk sebuah kerajaan minoriti jika tiada penyelesaian kukuh untuk mendapatkan sebuah kerajaan majoriti.

Katanya, ia berikutan kerajaan sementara bukan sebuah kerajaan sebenar yang berfungsi hanya untuk jangka masa pilihan raya dijalankan sehingga sebuah kerajaan baharu dibentuk.

Mahu tak mahu beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong masih perlu melantik seorang Perdana Menteri walaupun mungkin partinya tidak mempunyai cukup majoriti dalam PRU15.

"Jika kita ikut amalan negara Komanwel, baginda akan lantik Perdana Menteri dalam kalangan parti yang mendapat majoriti tertinggi.

"Kalau ikut itu tradisinya, ia akan pergi ke Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana Pakatan Harapan (PH) mendapat majoriti yang tertinggi dan mewujudkan kerajaan minoriti," katanya kepada BH.

Beliau berkata, kerajaan ini kemudiannya akan diberi masa untuk membentuk kerajaan baharu atau melantik mana-mana pihak untuk bersamanya. - Kedahnews.com