Sofee Razak Ganti Karupaiya Calon PH Di Padang Serai


PADANG SERAI - Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Mohamad Sofee Abd Razak, 47, sebagai calon baharu bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk kerusi Parlimen Padang Serai (P.017).

Pengumuman dibuat Pengerusi PH Johor, Datuk Salahuddin Ayub dalam majlis pengumuman calon Pakatan Harapan Parlimen Padang Serai di Kulim, Kedah, malam tadi.

Peguam berasal dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang, itu juga merupakan Setiausaha PH Kedah dan Setiausaha PKR Kedah.

Sementara itu, Mohamad Sofee dalam ucapan ringkasnya berkata, pemilihannya sebagai calon Parlimen Padang Serai bagi menggantikan mendiang M Karupaiya merupakan tanggungjawab besar yang harus dipikul untuk mempertahankan kemenangan PH di Parlimen itu.

Pada PRU14 lalu, Mohamad Sofee Razak adalah calon PKR yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) N32 Kuala Ketil, namun tewas.

Parlimen Padang Serai sepatutnya menyaksikan pertandingan enam penjuru antara penyandang kerusi berkenaan, M Karupaiya dari PH ditentang Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk Sivaraj Chandran (BN), Azman Nasrudin (PN), Mohd Bakhri Hashim (WARISAN), dan calon bebas, Ananda AK.

M Karupaiya, 69, meninggal dunia di Hospital Kulim tiga hari sebelum hari pengundian dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 7 Disember dan pengundian awal pada 3 Disember dengan tempoh berkempen selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding hingga pukul 11.59 malam, 6 Disember ini. - Kedahnews.com