TERKINI: ALHAMDULILLAH, NAD ZAINAL MAKIN POSITIF DI ICU


Keadaan pelakon, Nad Zainal, yang sebelum ini dilaporkan kritikal di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Ampang Puteri akibat jangkitan kuman di paru-paru, dilaporkan semakin menunjukkan petanda positif.

Difahamkan, paras oksigen dalam darah pelakon itu semakin bertambah, dan pernafasannya juga kembali stabil.

"Nanad masih lemah ... Alhamdulillah rawatan terbaharu ini nampaknya beri kesan, sebab pagi tadi paras oksigen dia sangat rendah dan paru-paru masih berdarah.

"Doktor tukar rawatan lain dan dia masih ditidurkan, tetapi keadaannya lebih baik dari pagi tadi," kata sumber yang dipetik dari Awani.

Terdahulu, media melaporkan aktres berusia 32 tahun itu dikejarkan ke unit kecemasan pada malam Isnin lalu dan doktor mengesahkan paru-parunya dipenuhi darah selepas menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan).

Dia dilaporkan mula tidak sihat sejak Jumaat lalu.

Selepas selesai membawa keluar semua darah, doktor terpaksa melakukan prosedur intubasi sekitar jam 6 petang semalam, berikutan Nad berdepan masalah pernafasan.

Susulan itu, menerusi media sosial, sejumlah artis tempatan bersolidariti dan mengajak seluruh peminat hiburan untuk sama-sama mendoakan kesembuhan Nad.

Sementara itu, pelakon Datin Umie Aida pula akan menganjurkan majlis bacaan Yasin buat Nad. 

Majlis berkenaan akan diadakan malam esok di kediamannya di Kuala Lumpur. - Kedahnews.com