UMNO Dijangka Hilang Ramai Ahli Jika Bersekongkol PH


ALOR SETAR - UMNO dijangka bakal kehilangan ramai ahli sekiranya pucuk pimpinan tertentu parti itu tetap berdegil mahu bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.

Jangkaan tersebut dibuat berdasarkan ramai ahlinya yang berpandangan untuk tidak menggadai maruah dan prinsip perjuangan parti tersebut yang dipegang sejak ia ditubuhkan.

Menurut tinjauan, ramai di kalangan mereka yang lebih rela untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN), kekal sebagai pembangkang sebagaimana yang diputuskan pucuk pimpinan parti, dan tidak menyebelahi Perikatan Nasional (PN) mahupun PH.

BN sebelum ini difahamkan turut kehilangan sejumlah kecil undi daripada ahlinya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu dan tewas di banyak kubu kuat mereka, manakala beberapa calon boleh menang juga digugurkan Pengerusi BN dari senarai calon.

Pasca PRU ke-15 menyaksikan desas-desus yang mengatakan Presiden parti tersebut, Ahmad Zahid Hamidi cuba menyalahguna kuasa dengan menjalin kerjasama dengan PH, sangat meresahkan ramai ahlinya.

Kewujudan surat Ahmad Zahid kepada Istana Negara untuk menyatakan sokongan 30 Ahli Parlimen BN kepada PH, yang diakui sahih oleh pucuk pimpinan MCA dan MIC telah meributkan lagi suasana.

Sementara itu, perbualan telefon "murid dan cikgu" antara dua invidivu yang dikatakan melibatkan Ahmad Zahid dan Anwar turut menyumbang kepada kemungkinan tersebut.

Bagaimanapun, BN masih secara rasmi mengekalkan pendiriannya sebagai pembangkang di Dewan Rakyat, dan sedang meneliti perincian tawaran PN dan PH dalam mesyuarat MKT UMNO yang berlangsung di ibu pejabat parti berkenaan, malam tadi.

Sementara itu, perbincangan Khas Raja-Raja Melayu akan diadakan hari ini di Istana Negara sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merungkai kemelut pembentukan kerajaan. - Kedahnews.com