Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak perlu rasa dirinya terlalu "premier" ekoran kedudukannya sebagai Perdana Menteri adalah atas keputusan bijaksana Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bukan atas sokongan majoriti rakyat Malaysia.
Apatah lagi kedudukannya juga bergantung kepada ehsan beberapa parti politik yang sebelum ini tidak sehaluan dengan partinya seperti Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti kecil lain.
BN sebelum ini menerusi parti tunjangnya, UMNO, telah menetapkan "no DAP, no Anwar..", menandakan penolakan sebulat suara akar umbi dan pucuk pimpinan parti tersebut, namun terpaksa mengenepikan pendirian tersebut setelah keputusan PRU15 tergantung dan berlapang dada menerima titah cadangan Yang Di-Pertuan Agong untuk bersama menubuhkan Kerajaan Perpaduan.
Padahal, keputusan lebih awal BN menyaksikan berpendirian untuk kekal sebagai pembangkang bagi menghormati keputusan majoriti rakyat yang menolak bekas parti kerajaan itu pada PRU15.
Manakala sokongan parti lain seperti GPS, GRS dan lain-lain parti pula menyusul kemudiannya kepada Pakatan Harapan (PH) setelah BN bersetuju untuk patuh pada titah cadangan Yang Di-Pertuan Agong.
Jika dinamik politik era ini mampu membuat PH menubuhkan Kerajaan Perpaduan, jangan pula lupa bahawa dinamik politik itu juga mampu meruntuhkan Kerajaan Perpaduan yang terbentuk itu sekelip mata.
Jika PH versi 2018 dahulu dijatuhkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang disifatkan khianat berpaling tadah, adalah tidak mustahil sekiranya Kerajaan Perpaduan ini dijatuhkan BN atau mana-mana parti, meskipun sedikit sulit akibat Akta Lompat Parti.
Justeru, Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri harus berhati-hati dalam setiap langkah keputusan, perancangan, pelaksanaan dan tindakan dasar kerajaan, merangkumi agenda dan pendekatan politik PH yang sebelum ini telah ditolak rakyat.
Apatah lagi Malaysia juga bakal berdepan pelbagai krisis global yang disifatkan lebih hebat menjelang tahun 2023, pastinya Anwar perlukan sebuah kerajaan yang stabil, cekap dan mampu mengatasi segala cabaran pada masa akan datang.
Biarpun kedengaran seperti retorik, namun mungkin Anwar juga memerlukan sokongan dari Perikatan Nasional (PN) untuk memantapkan lagi persediaan Malaysia bagi menghadapi pelbagai cabaran tersebut.
Anwar harus menggunakan segala kebijaksanaannya untuk menggunakan segala sumber yang ada di negara ini untuk memastikan Malaysia terus stabil, progresif dan makmur, demi kesejahteraan hidup rakyat di negara ini.
Semoga masa depan Malaysia kembali makmur dan sejahtera di bawah redha Allah SWT, insyaAllah. Wallahu'alam.