ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membayar apa-apa elaun kepada anaknya, Nurul Izzah Anwar, yang dilantik Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.
Anwar berkata, beliau sendiri mempelawa anaknya, yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk membantu sebagai penasihat beliau.
"Ya, saya yang meminta, mempelawa dia untuk bantu saya tetapi saya tidak membayar apa-apa elaun kepada dia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun di Meru Raya, di sini, hari ini.
Meskipun menafikan dirinya sendiri membayar elaun kepada Nurul Izzah, berkemungkinan juga imbuhan anaknya dibayar jabatan, agensi, syarikat swasta atau pihak tertentu sebagai sumber pendapatan bagi menyara hidupnya.
Pelantikan Naib Presiden PKR itu, yang berkuat kuasa sejak 3 Januari lalu, heboh diperkatakan di media sosial ketika ini, menyaksikan ulasan bercampur baur termasuk "troll" dan ada yang menjustifikasikan perlantikan tersebut dengan positif.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu adalah antara yang berciap di tweeter, mengucapkan tahniah namun sinis tentang kelayakan Nurul Izzah.
Pun begitu, Anwar pantas menjawab menegaskan individu yang dilantik, walau sebagai menteri sekali pun tidak semestinya perlu mempunyai kelulusan akademik bersesuaian dengan portfolio yang dipegang.
"Menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) sebelum ini pun tiada kelulusan berkaitan (portfoilo) masing-masing. Kalau nak dibangkitkan, mestilah konsisten.
"Apakah benar seorang Menteri Kesihatan mesti seorang doktor? Ataupun seorang Menteri Air mesti seorang jurutera? Tak pernah berlaku macam itu," jawabnya, memetik BH Online.
Nurul Izzah mempunyai dua ijazah berkaitan dengan kejuruteraan dan ijazah sarjana dalam bidang dasar awam, yang merangkumi politik, ekonomi dan sosial, dari School of Advanced International Studies (SAIS), Universiti Johns Hopkins, Washington, Amerika Syarikat.
Pun begitu, antara isu utama yang dipertikaikan warga netizen berkaitan perlantikan Nurul Izzah adalah "kronisme". - Kedahnews.com