Bekalan Telur Ayam Sudah Stabil, Kata Mat Sabu


ALOR SETAR - Bekalan telur untuk pengguna di seluruh negara dikatakan sudah stabil dan pengguna tidak akan berdepan masalah menjelang bulan Ramadhan dan Syawal nanti.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, proses mengimport telur akan diteruskan, namun hanya dilakukan mengikut keperluan semasa, bukan secara berterusan.

"Bekalan telur sudah stabil dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan sentiasa memantau serta menghantar bekalan ke kawasan yang menghadapi kekurangan bekalan bahan itu sekiranya ada.

"Bagi menyelesaikan isu berkaitan pengeluaran yang dihadapi syarikat yang terbabit, kerajaan mengambil inisiatif tertentu untuk membantu mereka termasuk memudahkan syarikat terbabit mendapatkan pekerja termasuk pekerja asing.

"Contohnya, mereka mampu keluar setengah juta telur tapi disebabkan tidak cukup pekerja mereka hanya boleh keluarkan 300,000 biji telur. Jadi, kita minta kerajaan untuk mudahkan mereka dapatkan pekerja tempatan dan pekerja asing,", kata Mohamad, memetik BH.

Beliau hadir di dalam sesi libat urus bersama peladang Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Pengkalan Kundor yang berlangsung di sini, semalam.

Mengulas mengenai cadangan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, agar kerajaan memansuhkan Permit Kelulusan (AP) telur ayam, Mohamad menjelaskan pihaknya akan berbincangkan perkara itu dengan kementerian berkaitan.

"Kami akan bincang di peringkat pegawai dan kementerian lain termasuk Kementerian Kewangan kerana ia melibatkan hal jaminan makanan," katanya.

Ameer Ali Mydin sebelum ini mendakwa cadangannya itu berupaya mengurangkan harga telur ayam sehingga 37 sen sebiji bagi telur gred C berbanding harga semasa 41 sen.

Katanya, pengimportan telur ayam yang dipelopori beberapa pihak telah membuka peluang kepada pihak berkenaan memanipulasi harga di pasaran negara ini. - Kedahnews.com