"Cakaplah Apa Pun, Pah Tu Kelik Tido..." - Sanusi


ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor mengakui menjadi pembangkang di negara ini sangat senang gara-gara hanya perlu bercakap sahaja dan tidak perlu berbuat apa-apa.

Mengenang pengalamannya sebagai pembangkang sebelum ini, beliau mengaku menghentam kerajaan siang malam, namun tidak perlu berbuat apa yang digesa.

Namun setelah menjadi kerajaan, barulah beliau tahu tentang sukarnya menjadi Kerajaan yang bertanggungjawab melaksana apa yang diperkatakan.

"Bercakap sebagai pembangkang sangat senang, pasai tak kena buat. Cakaplah apa pun, tabuh siang malam, pah tu kelik tido...

"Macam saya la jadi kerajaan. Dulu syarah sedap, (saya) kata macam-macam. La ni (sekarang ini) kena buat. Pening wooo... tu jadi slow sikit tu," katanya.

 

Untuk rekod, PAS sejak berpuluh tahun sebelum menjadi kerajaan difahamkan menghentam dan menggesa Kerajaan untuk menutup kilang arak terbesar negara di negeri Selangor.

Namun meskipun telah berjaya membentuk Kerajaan Negeri Selangor bersama Pakatan Harapan (PH) suatu masa di bawah kerajaan Pakatan Rakyat (PR) untuk beberapa penggal, namun tidak menutup kilang arak tersebut.

Malah berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan bersama PN dan PAS diberi kuasa sebagai Menteri sekalipun, parti Islam itu yang kuat mengkritik kerajaan terdahulu tetap tidak melaksana apa yang digesakan parti itu sebelum ini.

Walau bagaimanapun, Sanusi berjaya menghapuskan lesen judi di negeri Kedah bermula tahun 2023 meskipun tidak berbuat demikian ketika PAS mula mentadbir negeri tersebut di era Al-Marhum Tan Sri Ust Azizan Razak.

Sanusi masih tidak mewajibkan umat Islam di negeri Kedah untuk menutup aurat sepenuhnya sebagaimana dasar yang dilaksanakan di negara Brunei Darussalam.

PAS tidak wujud di negara tersebut.

Beliau berkata begitu ketika mengkritik PH yang disifatkan sudah menjadi Kerajaan, namun gagal melaksana apa yang diperkatakan parti pemerintah itu.  - Kedahnews.com