ALOR SETAR - Barisan Nasional (BN) dijangka tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Malah BN yang diketuai UMNO juga dijangka akan menandingi semua 36 kerusi DUN di negeri ini bersama parti-parti komponennya, MCA dan MIC.
Jangkaan ini adalah berdasarkan kecenderungan BN di peringkat Persekutuan yang hanyalah sekadar bekerjasama untuk membentuk Kerajaan yang tergantung selepas PRU15, bukan di atas kerjasama politik di antara dua parti tersebut.
BN selepas tewas pada PRU15 sebelum itu telah memutuskan untuk berperanan sebagai pembangkang, namun terpaksa akur dengan cadangan titah Yang Di-Pertuan Agong untuk membentuk Kerajaan Malaysia bersama parti yang memiliki kerusi terbanyak.
Bekas parti pemerintah itu membuat keputusan tersebut setelah Perikatan Nasional (PN) enggan mematuhi titah cadangan Yang Di-Pertuan Agong untuk membentuk Kerajaan bersama PH.
Namun difahamkan kerjasama itu hanyalah merupakan kerjasama longgar bagi memastikan sebuah Kerajaan yang stabil dapat dibentuk, dan bukanlah kerjasama politik antara dua seteru tradisi berkenaan.
Justeru itu, dijangka akan berlaku pertandingan 3 penjuru pada PRN negeri Kedah nanti.
Walau bagaimanapun, BN cenderung dijangka akan bekerjasama untuk membentuk Kerajaan Negeri Kedah bersama PH sekiranya gagal menguasai majoriti kerusi DUN Kedah. - Kedahnews.com