Fadhlina Sasar Selesai Isu Kurang Guru Sebelum Buka Sekolah Mac Ini


NIBONG TEBAL - Kementerian Pendidikan (KPM) menyasar menyelesaikan masalah kekurangan guru di sesetengah sekolah di seluruh negara sebelum sesi persekolahan baharu yang dijadual bermula Mac ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata usaha itu antara langkah pihak kementerian yang diyakini dapat menyelesaikan masalah kekurangan guru yang sudah berlanjutan sekian lama.

"Isu itu (kekurangan guru) saya fikir ada sedikit (tetapi) bukan kritikal. Memang ada isu di Sarawak, jadi kita selesaikan dulu di Sarawak kerana itu persiapan kita dalam rangka lawatan saya di sana pada ketika itu.

"Memandangkan isu itu memang dibangkitkan dan ditanya, jadi saya jawab ketika itu dalam rangka lawatan di Sarawak dan untuk negeri-negeri lain memang kita melihat juga perkara terbabit.

"Sebelum pembukaan sekolah pada Mac ini Insya-Allah kita akan cuba atasi mana-mana negeri yang masih ada masalah kekurangan guru," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal dan Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri Jawi di sini, semalam.

Semalam, Fadhlina dilaporkan berkata, KPM akan cuba mengisi 50 peratus daripada anggaran jumlah 3,000 kekurangan guru di Sarawak menjelang Mac ini sebagai langkah awal bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di Sarawak.

Beliau turut menyatakan keyakinan penyelesaian mampu dicapai meskipun dasar nisbah 90:10 guru Sarawak dan guru bukan dari Sarawak masih digunakan di negeri itu. - BH Online