ALOR SETAR- Bekas Menteri Pertahanan, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussien menegaskan bahawa apa yang berlaku terhadapnya baru-baru ini bukanlah satu pengakhiran.
Bahkan menurut bekas Naib Presiden UMNO itu, tragedi yang menimpa karier politiknya itu merupakan sebuah permulaan baharu dan beliau akan terus berjuang demi agama, bangsa dan negara.
"Apa yang berlaku tidak sesekali mematahkan semangat sata untuk cekal berjuang demi agama, bangsa dan tanahair.
"Ini bukanlah pengakhiran.
"This is not the end, but merely a beginning. A New Beginning," ulas Ketua UMNO Bahagian Sembrong itu menerusi sebuah video pendek yang dimuatnaik di laman sosialnya.
Keahlian Hishamuddin sebagai ahli UMNO telah digantung selama 6 tahun oleh Majlis Tertinggi UMNO semalam bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dan ramai lagi pemimpin serta ahli parti itu di seluruh negara.
Hishamuddin yang turut dikenali sebagai H2O turut menjelaskan bahawa beliau akan berbincang langkah seterusnya dengan UMNO Bahagian Sembrong bagi menentukan hala tuju dan tindakan selanjutnya.
UMNO sebelum PRU15 telah menggantung dan memecat beberapa pemimpin seperti Tan Sri Anuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim, termasuk Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Dato' Yusuf Ismail. - Kedahnews.com