Sebagaimana maklum, Kerajaan PN Negeri Kedah telah mengumumkan kewujudan unsur nadir bumi (REE) yang bernilai RM62 bilion pada penghujung tahun 2020. Kita bersyukur dan berterima kasih kepada Allah atas kurniaan kekayaan sumber mineral semula jadi yang kini cukup bernilai di pasaran.
DRAMA AWAL PENEMUAN
Mungkin teruja dengan penemuan unsur tersebut di zaman beliau mengetuai Kerajaan Negeri, Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor pada awalnya tersilap mengumumkan jumlah RM43 trilion.
Namun pejabatnya kemudian memperbetulkan keterujaan Sanusi itu dengan mengatakan RM43 trilion itu adalah merujuk kepada jumlah keseluruhan REE di seluruh negara, manakala di Kedah hanya terdapat REE yang bernilai RM62 bilion sahaja.
Tidak mengapalah, manusia sememangnya tidak terlepas dari kesilapan...
MULA DENGAN PERMIT PENEROKAAN REE
Dalam pada itu, Sanusi turut mengumumkan kerjasama dengan sebuah syarikat yang berpengkalan di Kuala Lumpur, yang akan bekerjasama dengan sebuah lagi syarikat antarabangsa untuk melaksanakan kerja-kerja penerokaan unsur berkenaan di salah satu kawasan di daerah Sik dengan cara mengekstrak mineral tersebut, namun tidak membabitkan aktiviti perlombongan.
"Sudah diluluskan permit, orang itu pun dah masuk. Cuma permit teroka ini dia tak boleh pakai mesin, tak boleh pakai jentera, dia masuk pakai manual. Dan bila dia teroka, dia temu element itu, dia kena declare kepada kerajaan," ujarnya teruja, sebagaimana yang dipetik dari Harakah Daily, 2 Disember 2020.
Ketika itu, Sanusi turut mengakui pihaknya mengharapkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha merangka dasar bersesuaian agar kekayaan sumber asli itu dan memaklumkan bahawa Majlis Tanah Negara yang telah bermesyuarat lebih awal dua bulan juga telah meluluskan satu rangka dasar mineral negara yang akan dimuktamadkan nanti.
HARAPAN ORANG KAMPUNG
Pengumuman dramatik MB Kedah itu sebenarnya telah membuahkan harapan kepada Ketua Ladang Felcra Sungai Senam Satu, Ismail Abdul, yang berharap agar hasil bumi di Bukit Enggang Sik itu dapat dikongsi oleh penduduk melalui peluang pekerjaan.
Manakala Izwan Hadi Md Zuki tetap mengharapkan flora dan fauna di Bukit Enggang itu dapat dikekalkan sekiranya mineral di bawah perut bumi bukit itu dikeluarkan kelak.
KOMEN AWAL PAKAR
Menurut Jurutera Perunding, Kejuruteraan Perlombongan dan Alam Sekitar, Dr Selamat Aliman yang dipetik dari Berita Harian, pada peringkat antarabangsa, unsur nadir bumi dipasarkan dalam bentuk nadir bumi konsentrat (karbonat), nadir bumi oksida dan logam unsur bumi pelbagai, bermula RM5,000 hingga RM700,000 setiap tan, iaitu menunjukkan julat harga jauh berbeza antara produk.
Namun Malaysia belum memiliki teknologi dan kepakaran memproses peleraian unsur nadir bumi. Unsur berkenaan terpaksa di eksport ke China untuk menjalani proses-proses tersebut.
Sekiranya Malaysia merancang dan memiliki teknologi serta kepakaran menghasilkan produk akhir unsur nadir bumi pada masa akan datang, diyakini ianya akan memberikan hasil lebih lumayan di dalam negara berbanding dieksport ke China.
Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), sebagai jabatan teknikal utama dan pemegang taruh (stakeholder), diharapkan bertanggungjawab menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi industri perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif, sebelum ianya dimuktamadkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (KeTSA).
MENTERI-MENTERI KeTSA
Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin merupakan Menteri KeTSA sejak 2 Julai 2018 hingga 24 Februari 2020. Jawatan tersebut diambil alih oleh Ahli Parlimen Lenggong, Dato' Dr Shamsul Anuar Nasarah pada Mac 2020 hingga Ogos 2021 sebelum diambil alih Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato' Seri Takiyuddin Hassan sejak Ogus 2021 hingga Mei 2022.
Sejak Mei 2022, KeTsa kini diketuai Menterinya, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
SANUSI TIBA-TIBA UMUM MoU SEBELUM SOP DITETAPKAN
Namun pada 11 Januari 2023 baru-baru ini, Sanusi mengumumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jangka Bakat Minerals Sdn. Bhd. dan Xiamen Tungsten Co. Ltd. dalam usaha penerokaan maklumat dan kepakaran bagi industri perlombongan unsur nadir bumi (REE).
MoU itu ditandatangani setelah Kedah mengalami kecurian REE yang menimbulkan kontroversi. Difahamkan, kecurian tersebut telah berlaku kira-kira 2 tahun lalu sebelum kegiatan jenayah itu terbongkar melalui kejadian kemalangan melibatkan kenderaan yang membawa hasil REE yang dicuri.
DRAMA KECURIAN REE DI BUKIT ENGGANG, SIK
Dalam kejadian itu, sebanyak 185 guni REE yang dianggar bernilai RM3.5 juta telah dirampas, dipercayai dicuri dari Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.
"Sekiranya tidak berlaku kemalangan lori yang dipercayai membawa bahan mineral tersebut minggu lalu, sudah pasti kegiatan ini akan terus berleluasa walaupun kita dimaklumkan terdapat dua laporan sudah dibuat sebelum ini.
"Laporan polis sudah dibuat sebelum ini, begitu juga laporan kepada pejabat tanah dan galian (PTG) serta pejabat Menteri Besar, tetapi mereka seperti tidak kisah dengan apa yang berlaku sedangkan terang-terangan khazanah alam di bumi Kedah sedang dicuri," kata sumber yang dipetik dari Utusan Malaysia, 4 Oktober 2022.
Maksudnya, laporan telah pun dibuat sebelum ini kepada PTG dan Pejabat MB Kedah sebelum ini, namun tidak diendahkan sehinggalah kejadian kemalangan itu berlaku dan mengakibatkan jenayah curi itu "kantoi" diketahui khalayak umum.
Jenayah yang berlaku selama 2 tahun itu juga secara tidak langsung menjelaskan Sanusi dan Kerajaan Negeri yang diketuainya seolah gagal memegang amanah menjaga khazanah sumber mineral bernilai tinggi negeri Kedah itu dengan baik hingga menyebabkan kecurian berlaku.
Sekiranya kecurian itu tidak di"kantoi"kan Allah SWT melalui kemalangan itu, Kedah dianggarkan rugi berbilion ringgit!
"Apa yang berlaku di Sik, ia dibuat satu keadaan 'camouflage', khemah digunakan tidak ada beza dengan hutan, kabin dibina dengan warna hijau dan sebagainya. Jadi dengan imej ini, Jabatan Perhutanan apabila menerima aduan awam pergi ke sana dan tahan warga asing yang beroperasi (sejak) beberapa lama tetapi tidak dapat dikesan, dan akhirnya dapat dikesan juga.
"Jika dibiarkan (aktiviti lombong haram NR-REE), ia mungkin mengakibatkan kecurian berbilion ringgit bahan ini," dedah Menteri KeTSA ketika itu, Dato' Seri Takiyuddin Hassan yang dipetik dari Berita Harian, 4 Oktober 2022.
JAWAPAN SANUSI CETUS PERTIKAIAN, KONTROVERSI
Namun menurut Sanusi, kerugian yang ditanggung Kerajaan Negeri Kedah akibat kegiatan perlombongan haram unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik itu sudah diperolehi semula sebanyak RM630,000.
Katanya, dua kompaun yang dikenakan terhadap seorang lelaki warga China melibatkan RM500,000 mengikut Seksyen 429B Kanun Tanah Negara (KTN) (Akta 828) yang sudah dijelaskan pada 11 Oktober 2022, genap seminggu selepas pendedahan Takiyuddin.
"Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) pula mengeluarkan kompaun sebanyak RM130,000 kerana kesalahan menceroboh hutan," jelasnya mengenai jumlah RM630,000 yang jauh lebih rendah nilai kerugiannya berbanding anggaran awal bernilai RM3.5 juta yang diperkatakan sumber Utusan Malaysia sebelum ini.
Tegas Sanusi, unsur nadir bumi yang dirampas sebelum ini dianggarkan bernilai sebanyak RM391,360 mengikut nilai pasaran pada 30 September 2022 dengan anggaran RM35,257 setiap tan.
Sedangkan dakwaan sumber Utusan Malaysia menyatakan hasil curi yang dirampas dalam kejadian kemalangan itu sebanyak 185 guni REE yang dianggar bernilai RM3.5 juta, tidak termasuk REE yang dicuri dalam tempoh 2 tahun sebelum "kantoi".
Walau bagaimanapun, jawapan balas Sanusi itu dipertikaikan kerana kompaun tersebut hanya melibatkan seorang sahaja yang dihukum berbanding kegiatan curi itu dijalankan selama 2 tahun dan diyakini melibatkan sendikit yang lebih besar, bukan seorang individu sahaja.
"Ini adalah berasakan maklumat penduduk kampung berdekatan yang melihat kehadiran kereta mewah bercermin gelap, pengawal tapak dipercayai samseng dan lori yang diiringi pacuan empat roda (4WD).
"Kegiatan operasi seperti itu semestinya mustahil dilakukan seorang individu sahaja, tentunya ia disertai kumpulan penjenayah terancang, tetapi yang ditangkap hanya seorang," kata Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, yang juga merupakan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah.
LAPORAN POLIS DAN GESAAN CAMPUR TANGAN KeTSA
Justeru pada 17 Januari 2023 baru-baru ini, beliau telah membuat satu laporan polis meminta SPRM Kedah menjelaskan fakta berhubung siasatan kes kecurian REE di kawasan Bukit Enggang yang berlaku tahun lalu itu.
Selain itu, Shaiful Hazizy turut menggesa agar KeTSA campur tangan dalam rancangan Kerajaan Negeri Kedah yang diketuai Sanusi untuk melakukan penerokaan dan pelombongan REE tanpa mengikut SOP yang ditetapkan, serta menyalahi undang-undang negara.
"Kita minta kementerian turun padang dan tinjau tapak aktiviti penerokaan REE ini dan hentikan sebarang aktiviti di tapak sehingga SOP dikeluarkan.
"Urusan SOP ini juga perlu dibuat secara teliti dan sebaik mungkin, kita kena faham menyediakan SOP ini bukan mudah, ia perlu dibuat secara mendalam agar hasil bumi penting ini tidak dijadikan sumber yang dijual di pasaran gelap," katanya lagi.
SANUSI LABEL KeTSA "MAKNGOT", SALAHKAN ORANG LAIN
Dalam pada itu, Sanusi sebelum ini turut menyalahkan KeTSA yang dilabel "MakNgot" kerana lewat menyediakan pengeluaran SOP pelombongan REE sehingga menyebabkan unsur mineral tersebut dicuri.
"Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam (mesyuarat) Majlis Tanah Negara (MTN) suruh kita tunggu SOP dikeluarkan, tapi sampai sekarang belum terima SOP. Oleh kerana ‘barang’ ini dapat permintaan tinggi dengan nilai amat baik, maka orang tak dapat tunggu lama-lama.
"Jadi mereka bawa keluar tanpa isytihar ianya sebagai REE bagi mengaburi pihak berkuasa. Dalam pengamatan saya, mineral REE ini bukan sahaja dikeluarkan di beberapa lokasi di Kedah, malah turut dikeluarkan di beberapa lokasi di negeri-negeri lain secara haram.
"Saya dah lama cakap perkara ini tetapi oleh kerana mereka ini ‘mak ngot’ (terlalu perlahan), ralit atau sebenarnya tak tahu bagaimana nak buat SOP yang sepatutnya supaya negeri-negeri dapat maksimumkan kegiatan perlombongan dan hasil, maka pihak lain bergerak tanpa SOP tersebut," kata Sanusi yang dipetik dari Utusan Malaysia, 10 Januari 2023.
TANGGUNGJAWAB JAGA KESELAMATAN REE KEDAH SEBELUM SOP DIMUKTAMAD
Sedangkan Sanusi sepatutnya bertanggungjawab menjaga keselamatan REE di bumi Kedah daripada dicuri mana-mana pihak sebagaimana Kerajaan Negeri lain yang sabar menjaga sumber mineral itu di negeri masing-masing sehingga SOP dimuktamadkan KeTSA.
Adalah bukan mudah untuk menetapkan SOP bagi pelombongan REE yang merupakan sumber mineral tidak dapat diperbaharui itu. Penetapan SOP perlombongan REE adalah perkara baharu dan tidak semudah memasak "mee maggi".
SOP PERLU MASA DIKAJI MENYELURUH AGAR TIDAK RUGI MASA DEPAN
Penetapan SOP melombong REE di negara ini memerlukan masa, tidak boleh dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa dan perlu dikaji secara menyeluruh agar mineral bernilai tinggi itu dapat dimaksimumkan manfaatnya sepenuhnya kepada negeri mahupun negara.
"Ini kerana REE adalah sumber yang tidak boleh diperbaharui. Sekiranya dilombong, simpanan rizab akan berkurang. Malaysia belum menjadi negara yang menghasilkan teknologi, maka sumber mineral ini perlu dieksport ke luar.
"Pada ketika kita sudah bersedia, sumber mineral ini telah kehabisan. Oleh itu, perancangan jangka panjang perlu bagi memastikan mineral ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh kita" Pensyarah Kanan di Jabatan Teknologi Tenaga, Mineral dan Bahan, Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Hafidz Yusoff.
Menurut beliau, kajian menyeluruh termasuk kesan persekitaran perlombongan sebelum meneroka REE perlu dilakukan terlebih dahulu.
"Hendaklah tidak melombong di kawasan hutan simpan kekal dan merujuk kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan JMG berhubung perlombongan REE. Perlombongan tidak akan dibenarkan selagi prosedur operasi standard (SOP) belum dikeluarkan," katanya yang dipetik dari Sinar Harian, 20 Disember 2022.
Menurut Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof Dr Ahmad Ismail, aktiviti penerokaan hutan termasuk perlombongan unsur NR-REE secara haram boleh menjejaskan alam sekitar khususnya faktor hakisan dan perubahan kualiti air sungai sekitar.
"Jika berlaku hakisan permukaan secara berlebihan, akan berlaku perubahan kepada air sungai. Ia boleh mengganggu kehidupan penduduk tempatan dari segi sumber air bersih, sumber pendapatan dari sungai dan kesan kesihatan jangka pendek dan panjang jika air sungai tercemar dengan bahan kimia," tegasnya mengulas aktiviti perlombongan haram NR-REE di Bukit Enggang Sik, yang dipetik dari Berita Harian.
SARANAN MEMBINA
Berkemungkinan besar KeTSA terpaksa mengambil masa agak lama untuk memuktamadkan SOP secara menyeluruh ekoran kekangan seperti pandemik Covid-19 mahupun pasca Covid-19, apatah lagi pertukaran Menterinya bersilih ganti akibat ketidakstabilan politik yang menentukan dasar dan hala tuju negara.
Kerana itu, Sanusi selaku Menteri Besar Kedah perlu terlebih dahulu bersabar menjaga sumber mineral NR-REE bernilai tinggi itu di bumi Kedah agar selamat daripada dicuri penerokaan dan perlombongan haram.
Beliau juga tidak wajar memeterai MoU dengan mana-mana pihak untuk melanggar undang-undang negara dengan membenarkan aktiviti perlombongan REE dijalankan di Kedah selagi SOP tidak dikeluarkan KeTSA.
Namun begitulah Sanusi mengendali pentadbiran Negeri Kedah mengikut acuannya sendiri... - Kedahnews.com