KJ, Noh Omar Dipecat, H20, Shahril Digantung, Hasni Digugur Jawatan


KUALA LUMPUR- Bekas Ketua Pemuda UMNO yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin (KJ) dipecat keahliannya dari UMNO, malam tadi.

Difahamkan keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi.

Selain KJ, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang sebelum itu digantung keahlian selama 6 tahun juga dipecat setelah mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memecatnya terus dari parti.

Menurut Noh yang juga merupakan Ahli MKT UMNO, ketika cabaran dibuat kepada Ahmad Zahid itu, tiada ahli MKT lain yang memberi maklum balas kecuali Ahmad Zahid.

"Lain-lain semua diam, tetapi dia (Ahmad Zahid) cakap OK. Dengan ini saya dipecat serta-merta," kata Noh kepada pemberita sejurus selepas menghadiri mesyuarat itu, malam tadi. 

Beliau turut memaklumkan, selain dirinya ramai lagi pemimpin parti itu yang dilihat sebagai "mensabotaj" UMNO turut dikenakan tindakan oleh parti sama ada dipecat atau digantung keahlian.

"Persoalannya undang-undang apa yang digunakan, undang-undang rimba atau hantu. Ikut suka hati (undang-undang apa sekalipun), kerana saya sudah mendapat surat daripada Lembaga Disiplin untuk hadir pada 2.30 petang Isnin ini, tetapi saya tersenarai digantung hari ini.

"Mengapa keputusan dibuat, dia kata lepas jumpa Lembaga Disiplin. (Hakikatnya) Lembaga Disiplin belum bermesyuarat, tetapi saya sudah pun digantung enam tahun.

"Macam inilah UMNO, tindakan sesuka hati dan ini merupakan hinaan kepada Lembaga Disiplin," katanya, memetik BH Online.

Selain Khairy dan Noh, seramai 42 ahli UMNO turut dipecat daripada parti itu atas pelbagai kesalahan lain.

"Turut dipecat ialah lima orang ahli UMNO bahagian Pasir Gudang, sembilan orang ahli UMNO bahagian Putrajaya, dua orang ahli UMNO bahagian Tanjung Karang dan 26 orang ahli UMNO dari negeri Pahang.

"Antara kesalahan mereka ialah menjadi calon bebas, calon parti selain Barisan Nasional dan terlibat membantu parti lawan ketika PRU-15," jelas Setiausaha Agung UMNO, Dato' Ahmad Maslan dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua UMNO bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan digantung keahliannya.

Hishammuddin dan Shahril mengikuti senarai pemimpin terbaru yang digantung, selepas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar memaklumkan menerima keputusan sama malam ini.

Turut digantung keahlian selama enam tahun ialah Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif, dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Namun begitu, punca penggantungan mereka tidak dinyatakan.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ditemui media enggan berkongsi senarai pemimpin yang dipecat atau digantung, sebaliknya menyatakan keputusan yang dibuat MKT malam tadi terpaksa dilakukan walaupun pahit.

Khaled malam tadi dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, menggantikan Dato' Seri Hasni Mohamad yang digugurkan dari jawatan berkenaan.

Beliau juga menjelaskan, semua tindakan disiplin yang dikenakan juga sudah mengikut saranan Lembaga Disiplin UMNO. - Kedahnews.com