Mangsa Disingkir UMNO Boleh Pilih Banyak Platform


ALOR SETAR - Tiga hari selepas gerakan pembersihan UMNO yang menyaksikan pemecatan dan penggantungan keahlian beberapa pemimpin yang didakwa mensabotaj parti, tercetus pelbagai spekulasi mengenai langkah seterusnya yang bakal diambil mereka.

Sama ada proses pembersihan UMNO adalah pengakhiran karier politik mereka yang terbabit dalam parti keramat Melayu itu atau 'permulaan baharu' seperti disebut bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bergantung kepada percaturan politik masing-masing dalam masa terdekat ini.

Ada menjangkakan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dipecat mungkin memilih platform Muafakat Nasional (MN) diterajui Tan Sri Anuar Musa dan dianggotai beberapa bekas menteri daripada pelbagai parti.

Terdapat pandangan MN yang asalnya diwujudkan atas kerjasama UMNO dan PAS pada 2019, didaftarkan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mungkin bertukar status menjadi parti politik baharu dan jika berlaku, politik negara bakal menerima satu lagi parti serpihan UMNO.

Kemungkinan MN turut disertai pemimpin UMNO lain yang digantung seperti Hishammuddin; bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan dan bekas Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, juga tidak boleh diketepikan.

Tarikan MN ialah kerana ia ditubuhkan dua parti politik terbesar orang Melayu sebelum disertai BERSATU, juga parti berteraskan Melayu. Ia kini menghimpunkan pemimpin yang disingkir atau diketepikan parti politik mereka seperti Datuk Zuraida Kamaruddin dan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Muhammad Takiyuddin Ismail, tidak menolak kemungkinan pemimpin UMNO yang disingkir atau digantung seperti Noh, Hishammuddin dan Hasni menyertai MN sebagai platform untuk kekal relevan dalam arena politik.

Namun, Muhammad Takiyuddin berpandangan ia kemungkinan yang jauh, khususnya untuk pemimpin muda dan progresif seperti Khairy dan Shahril yang dilihat tidak sesuai menyertai organisasi diterajui Annuar, bekas Setiausaha Agung UMNO yang dipecat keahliannya pada awal Disember lalu.

"BERSATU atau MN platform terhampir yang dilihat sesuai dengan karakter dan pendekatan politik mereka, terutama tokoh lama seperti Noh, Hasni dan Hishammuddin. Kemungkinan itu tidak boleh ditolak dan berdasarkan sejarah semua, saya tidak jangka mereka akan sertai parti dalam Pakatan Harapan (PH).

"Namun Khairy dan Shahril Sufian mungkin tak cenderung sertai MN kerana mereka agak progresif. Saya tak fikir ia platform yang sesuai jika mereka masih mempunyai cita-cita politik.

"Platform terhampir bagi Khairy dan Shahril Sufian ialah BERSATU, namun tak mengejutkan juga jika mereka sertai PKR," katanya.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, kemungkinan pemimpin UMNO yang dikenakan hukuman parti itu baru-baru ini menyertai MN tidak boleh ditolak kerana apa sahaja boleh berlaku dalam politik.

"Jika dilihat pada status Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin di media sosial, banyak yang boleh ditafsirkan, mungkin beliau akan berjuang di platform lain atau mungkin menunggu masa sesuai untuk buat kemunculan semula dalam UMNO.

"Jika beliau memilih untuk menyertai parti lain, saya melihat MN mungkin jadi pilihan kerana pertubuhan itu dilihat dekat dengan Perikatan Nasional (PN). Begitu juga pemimpin lain yang rapat dengan Hishammuddin, namun ini sekadar andaian," katanya.

Kelmarin, Hishammuddin melalui rakaman video dikongsi di Facebook, menyifatkan penggantungannya bukan pengakhiran karier politik, sebaliknya permulaan baharu. - BH Online