Pecat, Gantung Ahli: Naib Presiden UMNO Tak Setuju!


ALOR SETAR- Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi menegaskan beliau tidak bersetuju dengan tindakan memecat dan menggantung keahlian ramai pemimpin serta ahli parti itu yang diumumkan semalam.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau tidak bersetuju dengan tindakan tersebut kerana ianya tidak dilakukan mengikut proses perundangan dan bertentangan dengan prinsip "natural justice".

"Saya menyatakan tidak setuju dengan keputusan tersebut atas alasan pemecatan dan penggantungan dibuat tidak mematuhi proses perundangan dan bertentangan dengan prinsip 'natural justice' seperti hak membela diri." tegasnya sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Naib Presiden itu menjelaskan tiada surat tunjuk sebab kepada yang tertuduh bagi mengetahui pertuduhan terhadap mereka, sekali gus menyebabkan tiada ruang bagi yang terbabit menjawab pertuduhan tersebut.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa tertuduh mempunyai hak untuk merujuk kepada pendengaran jawatankuasa disiplin parti bagi mempertahankan diri mereka, membawa saksi dan yang menuduh juga perlu membuktikan pertuduhan itu benar-benar wujud.

Ismail Sabri menyatakan, jawatankuasa disiplin pula perlu mendapati tertuduh sebagai bersalah dan sekiranya tertuduh didapati tidak bersalah, maka jawatankuasa itu perlu memberi cadangan kepada pengurusan parti dan seterusnya berbincang mengenainya sebelum dibawa cadangan ke peringkat Ahli Majlis Tertinggi UMNO untuk diputuskan.

"Jika yang menuduh tidak puas hati maka yang dituduh perlu dirujuk kepada pendengaran dalam jawatankuasa disiplin bagi mempertahankan diri. Beliau boleh membawa saksi. Tuduhan perlu dibuktikan.

"Jika jawatankuasa disiplin mendapati yang dituduh bersalah atau sebaliknya, maka jawatankuasa disiplin perlu memberi cadangan kepada jawatankuasa pengurusan UMNO.

"Jawatankuasa pengurusan UMNO perlu berbincang dan membawa cadangan ke MT untuk keputusan.

Namun tegas Naib Presiden itu, proses-proses tersebut tidak dilaksanakan.

Malah kata Ismail Sabri, beliau dimaklumkan bahawa jawatankuasa disiplin tidak pernah menasihatkan Presiden UMNO, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk sebarang tindakan, tapi hanya memaklumkan tentang terdapat laporan dibuat terhadap yang tertuduh.

Kerana itu, beliau menegaskan tidak bersetuju dengan keputusan memecat dan menggantung keahlian mereka yang terlibat.

"Sebagai sebuah parti yang bertamadun, UMNO mesti dilihat telus dalam membuat sebarang tindakan," katanya.

Presiden UMNO semalam mengumumkan pemecatan bekas Menteri Kesihatan yang juga merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan mengantung keahlian 6 tahun beberapa nama besar lain seperti Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussien, Shahril Hamdan dan ramai lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar pula yang mulanya hanya digantung keahlian 6 tahun telah dipecat Ahmad Zahid serta merta setelah dicabar.

Difahamkan ratusan lagi pemimpin dan ahli parti itu telah dipecat dari parti yang bertanggungjawab memerdekakan Tanah Melayu itu.  - Kedahnews.com