ALOR SETAR- Turkiye menjadi destinasi pilihan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk memanaskan badan sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) yang akan membuka tirainya 24 Februari ini.
Aksi Jelajah Pramusim 2023 di Antalya, Turkiye selama 10 hari bermula 5 Februari itu diumumkan sendiri oleh pemilik Sang Kenari, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar petang tadi.
Jelajah pramusim ini akan dilengkapi dengan aksi perlawanan persahabatan menentang empat kelab dari Uzbekistan, Kazakhstan dan Ukraine.
"Sepanjang 10 hari berada di Antalya, Sang Kenari akan mengadakan empat perlawanan persahabatan bertemu pasukan FC Nasaf dari Uzbekistan pada 9 Februari, FC Shakter Karaganda dari Kazakhstan (10 Februari), FK Maqtaraal dari Kazakhstan (12 Februari) dan pasukan terakhir FC Metalist Kharkiv dari Ukraine (14 Februari).
"Venue latihan sepanjang di kem pramusim kali ini adalah di Limak Arcadia Sports Center dan mengenai jadual perlawanan pula, semua aksi akan berlangsung pada jam 5 petang waktu tempatan (Turkiye) bersamaan 10 malam waktu Malaysia," katanya pada majlis pengumuman yang diadakan di Kedah Digital Library.
Turut dimaklumkan, KDA FC juga merancang untuk mengadakan siaran langsung secara dalam talian dengan 'pay per view' dan akan ditawarkan kepada semua penyokong bola sepak bagi setiap perlawanan berkenaan.
"Sudah pasti semua perlawanan kali ini amat dinantikan memandangkan KDA FC antara pasukan yang menjalani jelajah pramusim di Eropah.
"KDA FC akan memaklumkan pakej langganan menarik dengan menawarkan pas akses untuk semua perlawanan. Sila nantikan pengumuman KDA FC dalam masa terdekat," katanya. - BH Online