Sedekah, Sumbangan Dianggap Rasuah Pada Pengundi


ALOR SETAR - "Panggil ia sedekah atau sumbangan, (namun) undang-undang melihatnya sebagai rasuah yang diberi kepada pengundi - tanpa mengira sama ada pengundi yang memintanya atau tidak," tegas Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Menurut beliau, sama ada meminta atau tidak, tafsiran tentang rasuah dibuat berdasarkan undang-undang negara, bukan merujuk kepada mana-mana pandangan individu.

Jelasnya, Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 menyatakan dengan jelas takrifan membeli undi.

"Seksyen 10 akta ini sangat jelas dan apa saja istilah yang digunakan orang untuk mempertahankan hujahnya hanyalah tafsiran peribadi," katanya yang dipetik dari media, The Star, semalam.

Menurut Azam, Seksyen 10 akta tersebut menjelaskan secara terperinci perlakuan rasuah sebelum, ketika dan selepas pilihan raya, sama ada ia dilakukan secara langsung atau tidak langsung, atau calon sendiri yang memberinya atau ia diberi wakilnya, tidak menjadi perkiraan dalam perkara itu.

Beliau dipercayai mengulas mengenai kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengatakan agihan wang tunai oleh parti Islam itu kepada pengundi semasa PRU15 adalah sedekah dan tidak melanggar peraturan pilihan raya.

Pun begitu, Azam turut menjelaskan bahawa undang-undang hanya melarang calon atau wakil calon daripada memberinya sahaja. - Kedahnews.com