"Ulama Penyuluh Ummah" Punca Ummah Berpecah


Dalam masyarakat Islam di negara ini, individu mempunyai pengetahuan agama atau agamawan mendapat tempat istimewa. Mereka dihormati, dimuliakan dengan panggilan khas seperti ustaz, tok guru dan tuan guru serta menjadi tempat rujukan mengenai persoalan agama dan aspek lain kehidupan.

Oleh sebab agama adalah asas penting kehidupan Muslim, maka ia wajib dipelihara. Menurut Sheikh Wahbah al-Zuhaili, memelihara agama bermaksud memastikan kewujudan dan pelaksanaan ajarannya serta memastikan ia kekal selamanya.

Dengan kata lain, memelihara agama bermakna menjaga, menyelamatkan, melindungi, mengawal dan mengawasinya dengan cara melaksanakan syariat, di samping mempertahankannya daripada kebatilan dan kerosakan dengan cara mewajibkan jihad serta melarang murtad.

Dalam kepercayaan dan amalan agama, polariti memainkan peranan penting, misalnya melalui konsep balasan pahala-dosa, konsep tempat kehidupan abadi syurga-neraka dan konsep hukum halal-haram.

Dalam hubungan memelihara agama, prinsip polariti juga wujud iaitu keperluan memelihara agama, menjaga nama baik atau kesucian agama. Dalam wacana agama mutakhir ini, frasa berlawanan bagi memelihara agama sering digunakan ialah 'menunggang agama'.

Secara tersurat, menunggang bererti menaiki dan duduk bercelapak di atas sesuatu, seperti basikal, kuda dan kenderaan lain. Menunggang juga mempunyai makna tersirat iaitu mempergunakan sesuatu untuk kepentingan sendiri bagi mencapai maksud tertentu.

Menunggang agama membawa maksud negatif, iaitu mempergunakan agama demi kepentingan sendiri untuk mencapai tujuan tertentu.

Atas nama agama, sesuatu kejahatan atau kesalahan dilakukan boleh ditutup atau disembunyikan. Contohnya, pemberian wang rasuah disusuli balasan sokongan atau undian dalam pilihan raya boleh ditutup atas nama sedekah.

Memelihara agama bukan sekadar dipamerkan pada cara berpakaian, panggilan, gelaran dan nama organisasi, tetapi pada tutur kata dan tingkah laku.

Berpakaian seperti mengenakan serban dan jubah berasaskan sunah sambil melakukan pembohongan atas alasan bohong sunat ialah perbuatan menunggang agama.

Kesan perbuatan menunggang agama bukan hanya mencemarkan agama, bahkan mengelirukan dan menimbulkan salah faham terhadap agama dalam kalangan masyarakat.

Lebih memburukkan lagi keadaan adalah apabila agamawan sepatutnya berakhlak mulia, menunggang agama untuk mencapai tujuan tertentu. Agamawan seperti ini berada jauh daripada kriteria 'ulama penyuluh umat' dan pembawa kebenaran.

Terbalikkan kebenaran, julang pembohongan

Hal ini kerana kebenaran diterbalikkan. Kebenaran sepatutnya berada di atas, manakala kesesatan berada di bawah. Tunggang terbalik ini menyebabkan kesesatan diangkat ke atas dan kebenaran diletakkan ke bawah.

Dalam keadaan ini, agama bukan hanya ditunggang, malah 'ditonggeng'. Agamawan menunggang agama adalah individu ekstrem dan berminda tertutup.

Dalam dapatan beberapa kajian sosiologi agama dan pembangunan dijalankan di beberapa negara Islam, agamawan ekstrem lazimnya dikaitkan dengan sikap berikut:

  • Menganggap mereka lebih suci daripada orang lain
  • Menganggap mereka sentiasa betul dalam semua keadaan.
  • Memaksa orang lain menerima pandangan mereka.
  • Memusuhi orang berbeza pandangan dengan mereka.
  • Melabel orang dimusuhi dengan label agama negatif.

Sikap pertama, iaitu menganggap mereka lebih suci daripada orang lain wujud dalam diri kerana mereka yakin ilmu agama dimiliki ialah ilmu paling tinggi darjatnya di sisi Tuhan, membawa mereka mengenal-Nya dan mendekatkan mereka dengan-Nya. Dengan ilmu itu, mereka yakin amalan agama mereka sah, dimakbulkan Tuhan dan seterusnya diangkat ke tahap suci.

Apabila beranggapan diri lebih suci daripada orang lain, mereka berasakan sentiasa benar dalam semua keadaan, khususnya dalam hal ehwal agama, kerana sangkaan dipelihara Tuhan daripada melakukan kesalahan dan kesilapan.

Tindakan mereka walaupun terang-terangan salah, tetap dianggap menepati hukum sementara tindakan orang lain walaupun betul, dianggap menyalahi hukum. Hal ini memperlihatkan penentuan hukum agama terletak pada 'tangan' mereka.

Individu diterima sebagai agamawan ini akan memaksa orang lain menerima pandangan mereka kerana pandangan orang lain dianggap dangkal dan salah lantaran tidak suci seperti mereka.

Kisah pengikut nabi ingkar dan ditimpa balasan Tuhan sering dijadikan rujukan berbaur ugutan mengenai peri pentingnya bertaklid dengan doktrin mereka dan tanpa menyoal semula menerima pandangan mereka.

Anggapan mereka lebih suci daripada orang lain turut mendorong agamawan ekstrem dan berminda tertutup, memusuhi orang berbeza pandangan dengan mereka.

Mereka beranggapan orang berbeza atau menolak pandangan mereka sebagai orang sesat perlu dijauhi dan dimusuhi. Permusuhan ini ditandai pelabelan agama negatif, seperti kafir, munafik, fasik dan jahil.

Dalil daripada sumber muktabar akan dikemukakan dan diperjelaskan mengikut selera mereka demi mewajarkan pelabelan mereka.

Hakikatnya, sikap beragama ekstrem dan berminda tertutup tidak membawa kemajuan dalam kehidupan, sebaliknya membuka jalan kepada perpecahan dan permusuhan.

Perbuatan menunggang agama umpama memakai topeng menawan menyembunyikan wajah sebenar pelakunya rakus dan sanggup menggunakan agama demi mencapai matlamat tertentu.

Selain perpecahan dan permusuhan, kesan lain akibat perbuatan menunggang agama ialah ketaasuban pengikut melangkaui rasional akal sehingga sanggup melakukan apa sahaja tindakan untuk membela ketua mereka.

Untuk membendung perbuatan ini, pihak berkuasa agama perlu memainkan peranan dengan menguatkuasakan undang-undang berkaitan pemeliharaan kesucian agama seperti dilakukan dalam pembanterasan gerakan ajaran sesat.

Dalam kempen pilihan raya contohnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memasukkan dan menguatkuasakan penyalahgunaan agama, seperti jaminan syurga atau ancaman neraka dinisbahkan kepada parti politik tertentu sebagai kesalahan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya, 1954 (Akta 5).

Medium pendidikan dan dakwah juga perlu mengetengahkan penyalahgunaan agama sebagai isu agama meruncing. Selain itu, advokasi bersama generasi muda membabitkan tokoh agama berautoriti dan bersikap sederhana perlu dilaksanakan.

Dalam kalangan masyarakat Malaysia, ramai agamawan berjiwa besar, progresif dan sederhana boleh memainkan peranan memperbetulkan penyalahgunaan agama.

Apa yang penting, agama perlu dipelihara dengan kaedah betul seperti dinyatakan dalam al-Quran dan hadis. Mesej ayat dan hadis menyeru kepada pemeliharaan agama dengan kaedah betul bukan lagi mesej hanya difahami dan layak ditafsirkan agamawan ekstrem dan berminda tertutup.

Oleh: Prof Dr Munif Zarirruddin Fikri Nordin

Penulis adalah Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dipetik dari BH Online.