148 Ahli Parlimen Kerajaan Berkumpul Di Seri Perdana Sebelum Dewan Bersidang


PUTRAJAYA - Seramai 148 Ahli Parlimen blok kerajaan termasuk jemaah menteri menghadiri program pemukiman di Seri Perdana di sini, semalam.

Sesi berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof.

Difahamkan, sesi berkenaan diadakan sempena sidang Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 yang bermula hari ini.

Tinjauan di luar pintu masuk Seri Perdana mendapati kenderaan membawa Ahli Parlimen parti menyokong kerajaan dan menteri Kerajaan Perpaduan dilihat memasuki kediaman Perdana Menteri bermula jam 12 tengah hari.

Kenderaan membawa Ahmad Zahid pula dilihat memasuki Seri Perdana pada jam 4.40 petang.

Sebelum ini media melaporkan, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata seramai 148 Ahli Parlimen blok kerajaan akan terbabit dalam sesi pemukiman di Putrajaya sebelum Dewan Rakyat mula bersidang.

Beliau berkata, isu peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen yang akan dikurangkan tahun ini, dijangka menjadi antara perkara utama dibangkitkan pada sesi pemukiman Ahli Parlimen blok kerajaan hari ini. - BH Online