Abang Bangladesh Nangis Dicekup Khalwat Dengan Cewek Indonesia


MELAKA - "Saya mengaku kami buat salah duduk berdua dalam bilik, sebab memang (malam) tadi saya nak hantar dia balik, tapi tidak dapat panggil (e-hailing)."

Begitu kata lelaki warga Bangladesh yang dicekup kerana berkhalwat dengan wanita warga Indonesia di sebuah hotel terkenal di Taman Melaka Raya, Banda Hilir, di sini, pada awal pagi baru-baru ini.

Pasangan berusia 37 dan 30 tahun itu memberikan alasan berkenaan ketika disoal anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) ketika pemeriksaan di bilik hotel terbabit sebelum diberi'tazkirah' oleh Pengarah Jaim, Datuk Che Sukri Che Mat.

Lelaki terbabit yang bekerja sebagai pelayan restoran dilihat tunduk sebelum tiba-tiba sebak dan menangis kerana mengakui kesalahan dilakukan sebelum ditegur Che Sukri.

Che Sukri berkata, hasil soal siasat lelaki warga asing itu mendakwa terpaksa mengajak kekasihnya tidur di hotel berkenaan kerana gagal menempah khidmat e-hailing.

Menurutnya, wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah pula mendakwa ada memaklumkan kepada majikannya akan bermalam di rumah.

"Ketika diperiksa, si lelaki berkali-kali memohon maaf sambil menangis kerana kesal dengan kesilapannya itu.

"Bagaimanapun, mereka ditahan dan dibawa ke pejabat Jaim bagi siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991," katanya pada sidang media selepas menyertai operasi berkenaan, di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Melaka, Akmal Nadzim Abdullah.

Katanya, wanita warga Indonesia itu mendakwa mereka berkenalan selama enam bulan dan kerap datang ke bandar bagi mengirim wang untuk dua anaknya di Sumatera, Indonesia.

Sementara itu, Che Sukri berkata, Jaim turut menahan seorang penuntut wanita sebuah pusat pengajian tinggi berusia 20 tahun bersama teman lelakinya kerana berada di kawasan sunyi dan gelap di atas batu di Pantai Siring, Serkam, di sini.

"Mereka beri alasan hanya melepak selepas makan malam, namun didapati duduk rapat tanpa mempunyai ikatan sah sebelum dibawa ke pejabat Jaim untuk siasatan.

"Turut ditahan pengawal keselamatan berusia 28 tahun kerana berkurung hingga mendatangkan syak dengan kekasihnya berusia 25 tahun di sebuah hotel terkenal di Ujong Pasir," katanya. - myMetro