Dominasi Melayu Dalam Sektor Awam: Pemimpin PKR Bela Pemimpin DAP


ALOR SETAR - Pemimpin PKR, Hassan Karim tampil membela pemimpin DAP, P Ramasamy yang dikecam ramai susulan kenyataannya mengenai sektor perkhidmatan awam baru-baru ini.

Hassan yang merupakaan Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, sebagai orang Melayu, dia tidak berasa terancam dengan gesaan Ramasamy agar sektor perkhidmatan awam yang didominasi oleh orang Melayu diperbaharui.

"Adalah fakta bukan tohmahan bahawa pada waktu sekarang 90 peratus anggota penjawat awam daripada seramai 1.2 juta orang itu terdiri daripada kaum Melayu. Dominasinya agak besar. Inilah yang jadi isu kepada Dr Ramasamy.

"Penulis kenal lama Dr Ramasamy ini sejak beliau seorang pensyarah universiti. Niatnya baik membawa isu ini kepada perhatian Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Dr Ramasamy tidak menimbulkan isu perkauman.Dia meminta reformasi bukan revolusi terhadap sektor perkhidmatan awam supaya kelihatan lebih adil, lebih seimbang bagi sebuah negara Malaysia yang adil dan madani," katanya yang dipetik dari Facebooknya, semalam.

Hassan juga berkata hak Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu untuk bercakap untuk keadilan kepada rakyat bukan Melayu di negara ini perlu dihormati.

Tambahnya, Ramasamy juga secara konsisten menjadi penyokong reformasi agenda yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Janganlah kerana beliau berani bercakap dan lantang bersuara maka kita minta beliau dipecat dan disingkirkan dari jawatanya.

"Dalam hal ini, sikap Perdana Menteri Anwar Ibrahim patut dipuji apabila beliau mempertahankan hak Dr Ramasamy bersuara.

"Saya percaya perdana menteri mendengar dan meneliti pandangan yang disuarakan oleh sesiapa juga, termasuklah Dr Ramasamy," katanya mempertahankan pemimpin DAP itu.

Anwar sebelum ini berkata kenyataan Ramasamy mengenai perkhidmatan awam adalah pendapat peribadinya dan tidak mewakili partinya atau kerajaan.

Pengerusi PH itu juga berkata kerajaan tidak melihat penguasaan orang Melayu terhadap perkhidmatan awam sebagai satu isu.

Hassan berkata dia memahami pandangan Anwar yang sedang berhadapan dengan terlalu banyak cabaran dan menggesa kesabaran daripada semua pihak.

"Politik Malaysia ini ibarat padang di medan perang yang banyak bom perangkap samar. Salah melangkah maka boleh terpijak bom dan meletup. Anwar faham sangat dalam perkara ini,” tegasnya.

Ramasamy sebelum ini menggesa sektor perkhidmatan awam yang "dimonopoli" kaum tertentu diperbaharui.

Kenyataan itu menimbulkan kecaman ramai termasuk CUEPACS, namun Ramasamy kemudiannya menjelaskan pandangannya itu tidak mewakili parti dan merupakan pandangan peribadinya sendiri.

Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin dan Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan juga telah membidas Ramasamy, dengan berkata kenyataan itu adalah satu penghinaan kepada orang Melayu dan perkhidmatan awam.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke enggan mengulas panjang dan berterima kasih atas gesaan mereka untuk bertindak terhadap Ramasamy.

Bagaimanapun, Loke berkata parti itu mempunyai cara tersendiri melalui saluran dalaman parti untuk menangani Ramasamy. - Kedahnews.com