ALOR SETAR - Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan menempelak kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy berhubung gesaannya supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwa didominasi oleh orang Melayu.
Menurut Hasmuni, dakwaan yang dibangkitkan pemimpin DAP itu jelas menghina orang Melayu kerana digambarkan tidak boleh pergi jauh dan hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata.
Justeru katanya, Ramasamy diingatkan agar tidak 'menjolok sarang tebuan' dengan sengaja membangkitkan perkara ini hanya disebabkan perasaan prejudis beliau terhadap Perdana Menteri.
"Orang bukan Melayu tidak berminat dengan perkhidmatan awam kerana mereka memikirkan skim gaji yang kecil, sementara orang Melayu sanggup berkhidmat dengan kerajaan atas semangat patriotisme dan memastikan agar negara dapat ditadbir dengan baik.
"Mereka (orang Melayu juga) memasuki perkhidmatan awam dengan kredibiliti mereka, melalui proses saringan yang terbuka dan standard.
"Tidak ada diskriminasi kepada mana-mana kaum untuk menyertai perkhidmatan awam kerana jawatannya ditawarkan secara terbuka dan pemilihannya dibuat dengan saringan yang memenuhi piawai dan kehendak pekerjaan itu sendiri," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Hasmuni pada masa sama turut menyifatkan Ramasamy kemungkinan takut dengan bayang-bayang sendiri atau tidak yakin dengan Anwar disebabkan konsep Malaysia Madani yang membangkitkan semangat kebangsaan yang sejati itu.
Ramasamy pada Jumaat dilaporkan menggesa Anwar supaya mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwa didominasi oleh orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. - Sinar Harian