ALOR SETAR – Langkawi disasar menerima pelaburan bernilai RM1 bilion dalam pelbagai jenis merangkumi pembinaan hotel bertaraf empat dan lima bintang, produk eko pelancongan dan pusat beli-belah tahun ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Sektor Perancangan dan Pembangunan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin berkata, pulau peranginan itu menerima pelaburan bernilai RM1.8 bilion pada 2022, meningkat daripada RM1.2 bilion yang dicatatkan pada 2021.
Beliau berkata, walaupun pertumbuhan ekonomi agak perlahan namun nilai pelaburan yang masuk ke Langkawi dilihat masih positif semasa fasa pemulihan ekonomi atau pasca-COVID-19.
“LADA turut mengalu-alukan pelbagai jenis pelaburan ke pulau ini. Antara pelaburan baharu yang berimpak tinggi dan amat diperlukan di sini adalah pelaburan berasaskan pelancongan kesihatan seperti hospital pakar atau pusat kesihatan bagi menjadikan Langkawi sebagai hab pelancongan perubatan di negara ini.
“Selain itu, pelaburan dalam bidang pendidikan juga berpotensi besar dengan mewujudkan universiti atau kolej antarabangsa seterusnya menjadikan Langkawi sebagai antara hab pendidikan yang diminati,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, LADA juga optimis untuk menarik pelaburan berkaitan teknologi hijau yang merupakan antara inisiatif bagi memelihara kelestarian di pulau lagenda itu serta menjadi nilai tambah kepada industri pelancongan dan ekonomi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan negeri Kedah, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, Langkawi bersedia menjadi hab pelaburan utama sektor pelancongan di negara ini.
Beliau berkata, penganjuran julung kali Hari Pelaburan Langkawi hari ini yang bertujuan mempromosikan peluang pelaburan baharu khususnya sektor perkhidmatan pelancongan yang masih belum diterokai, dapat membantu merancakkan semula industri pelancongan dan pertumbuhan ekonomi Langkawi.
“Langkawi merupakan destinasi pelancongan yang terkenal di mata dunia dan sentiasa menjadi perhatian pelabur.
“Justeru, dengan berlangsungnya program ini maka LADA dan rakan strategik dapat mempromosikan dan menawarkan tanah-tanah yang berpotensi milik LADA serta tanah milik kerajaan negeri kepada pelabur-pelabur yang berminat,” katanya.
Ku Abd Rahman semalam merasmikan program sehari Hari Pelaburan Langkawi bertemakan ‘Memanfaatkan Peluang Pelaburan bagi Pelancongan Mampan’ anjuran LADA. – Bernama