Laluan Utara Paling Kerap, Akan Ditambah


ALOR SETAR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menambah kekerapan perjalanan KTM Komuter Sektor Utara bermula Sabtu ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, jadual waktu perkhidmatan KTM laluan Padang Besar ke Butterworth akan ditambahbaik dengan peningkatan kekerapan dari 60 minit ke 20 minit pada waktu puncak pagi dan dari 60 minit ke 30 minit pada waktu puncak petang.

"Bagi laluan Butterworth ke Padang Besar pula, jadual perkhidmatan akan ditambah baik dengan kekerapan pada setiap 30 minit pada waktu puncak pagi dan petang.

"Kekerapan perkhidmatan tren Komuter Utara laluan Padang Rengas–Butterworth–Padang Rengas akan ditambah baik dengan penambahan kekerapan di ruang luar waktu puncak pada setiap 120 minit berbanding 180 minit kekerapan sebelum ini.

"Ini menjadikan jumlah perkhidmatan bagi laluan Padang Besar– Butterworth–Padang Besar meningkat dari 26 trip (perjalanan) kepada 36 trip dan bagi laluan Padang Rengas–Butterworth–Padang Rengas dari 12 trip kepada 16 trip sehari," katanya.

Beliau berkata, penambahbaikan itu dijangka dapat memenuhi keperluan dan permintaan penumpang yang semakin tinggi.

"Saya amat menghargai maklum balas dan bersimpati dengan penumpang KTM Komuter Sektor Utara, terutamanya di laluan Padang Besar-Butterworth, yang mengadu mengenai kesesakan di waktu puncak disebabkan permintaan yang semakin meningkat.

"Inisiatif ini memudahkan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan KTM Komuter Utara untuk berulang alik ke tempat kerja, ke pusat-pusat pengajian tinggi awam dan swasta yang terdapat di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak selain menggunakan tren untuk melakukan urusan harian mereka," katanya.

Dalam masa sama, beliau mengumumkan penangguhan sementara perkhidmatan SkyPark Link yang kurang mendapat sambutan berkuatkuasa semalam.

Sementara itu, beliau turut menjawab mengenai kritikan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong terhadap aplikasi MyJPJ.

"Saya menghargai pendapat beliau (Wee) dan Kementerian Pengangkutan akan mempertimbangkan setiap komen dan kritikan untuk menambah baik agenda pendigitalan," katanya.

Terdahulu, Wee berkata, ciri keselamatan yang lemah dalam aplikasi mudah alih MyJPJ menyebabkan data berjuta rakyat Malaysia berisiko dibocorkan. Beliau berkata butiran seseorang boleh diperoleh dengan memasukkan nombor pengenalan MyKad. - Harian Metro