KUALA LUMPUR - Warga pendidik merayu Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti semula penggunaan Sistem Pengurusan Identiti (iDME) yang disifatkan bukan sahaja menyusahkan, malah mengganggu tugasan hakiki yang lain.
Mereka bimbang tidak mampu menyiapkan tugasan mengisi Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) melalui iDME sebelum bermulanya cuti akhir persekolahan sesi 2022/2023, hujung minggu ini.
Guru wanita di Melaka yang hanya mahu dikenali dengan nama Aisyah, berkata sebagai penyelaras PBD, beliau bertanggungjawab menguruskan data berkenaan bagi peringkat daerah dan tekanan dialaminya sangat tinggi.
"Saya sedang sarat mengandung, hanya tunggu masa untuk melahirkan anak. Memang tekanan sangat tinggi, sudahlah semakin tak larat, tak dapat tidur malam pula kerana cuba masukkan markah murid melalui iDME, namun buat masa ini, masih gagal.
"Bukan saya sahaja, ramai guru lain mengadu masalah sama. Saya sendiri sangat tertekan, malah perlu pula uruskan data, namun apa yang lebih sukar adalah untuk kendali data membabitkan (sekolah) yang mempunyai ramai guru dan murid di peringkat daerah," katanya kepada BH.
Keluhan mereka menyusul selepas beberapa guru semalam turut menggesa iDME dimansuhkan atau dinaik taraf terlebih dahulu kerana ia memberi bebanan kepada pendidik.
Menurut mereka, sistem sedia ada lebih mudah berbanding iDME yang bukan sahaja menyusahkan, sebaliknya dianggap kerja sia-sia apabila perlu melakukan perkara sama berulang kali berikutan ada data yang dimasukkan 'hilang' apabila sistem itu dibuka semula kemudian.
Aisyah turut berharap KPM mengambil tindakan serius untuk menangani beban kerja melampau dihadapi guru dengan tekanan semakin kuat sebaik iDME diperkenalkan tahun lalu.
Guru sekolah di Selangor yang mahu dikenali sebagai Rusyitah, berkata keputusan KPM memperkenalkan sistem baharu itu amat mengecewakan kerana sistem sedia ada diperakui lebih efisien.
"Sebelum ini, KPM menggunakan Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS), ia sebenarnya jauh lebih baik dan kuranglah masa kami menunggu untuk mengisi markah. Tidak seperti iDME yang amat lembap, boleh dikatakan kami bekerja 24 jam sehari untuk menyiapkan kerja.
"Jika lambat mengisi data, nama akan naik dalam kumpulan WhatsApp sekolah, malah dalam mesyuarat pula akan dihentam. Inilah realiti yang berlaku pada guru.
"Bila kami suarakan pendapat, orang atasan, sama ada Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan KPM senyap membisu," katanya.
Rusyitah turut memberitahu, mengikut arahan terbaru Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, guru di negeri itu diminta mengisi data melalui iDME secara berjadual mulai 19 Februari depan.
Sementara itu, guru di Kuching, Sarawak berharap KPM tidak mengambil mudah isu kelemahan dalam sistem dikendalikannya kerana ia turut memberi kesan kepada aspek kesihatan mental warga pendidik.
"Guru sekarang bekerja tanpa kira masa, malah saya jangka cuti sekolah yang akan bermula hujung minggu ini pun akan diisi dengan kerja perkeranian, termasuk isi data iDME yang tak pernah selesai.
"Kena ingat, ketika ini ramai guru yang ditugaskan sebagai pengawas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan banyak lagi tugas lain. Saya sendiri perlu uruskan pemulangan buku teks pelajar.
"Memang meletihkan, malah masa untuk keluarga boleh dikatakan tiada kerana sibuk dengan tugasan sekolah. Saya masih muda, tapi bayangkan guru yang sudah berusia 50-an masih perlu buat kerja masukkan markah dalam sistem dalam talian yang memang menyusahkan.
"Sebab itu tak hairanlah ramai guru yang pilih untuk pencen awal," katanya. - BH Online