Mangsa Banjir Baling Boleh Masuk Rumah Mac Ini, Kata MB Kedah


SIK - Kerajaan negeri memberi jaminan penduduk yang kehilangan kediaman akibat banjir puing di Baling pada 4 Julai tahun lalu akan dapat menduduki rumah baharu mereka sebelum Ramadan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata cabutan undi membabitkan 12 unit rumah sudah dilakukan baru-baru ini dan mereka hanya perlu menunggu rumah itu siap.

"Pegawai Daerah sudah buat cabutan undi, untuk 12 (buah rumah) yang di bawah tu.. tuan rumah dah tau rumah yang mana, depa dok ulang pi tengok...hampir siap.

"Saya janji tidak lebih bulan tiga (Mac), kita pun bayar sewa sampai bulan 3 ni..(jadi) sudah boleh duduk bulan Mac ini iaitu sebelum bulan Ramadan, ya sebelum puasa boleh duduk, makan ja tak boleh," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Geran Tanah Peringkat Daerah Sik dan Perasmian Kampung Sejahtera, di sini, semalam.

Muhammad Sanusi sebelum ini dilaporkan berkata 17 rumah baharu itu sepatutnya siap pada Disember lalu, namun berlaku kelewatan.

Pada Januari lalu, media melaporkan penduduk pinggir Sungai Kupang di Baling yang kehilangan rumah akibat banjir pada 4 Julai tahun lalu, yang tidak lagi menaruh harapan dapat mendiami kediaman itu berikutan ia masih belum siap hingga kini.

Pembinaan rumah di Desa Keda Kampung Sadek, Baling, masih berjalan dengan hanya empat rumah sedang dibina, manakala selebihnya dalam proses menambun tanah.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata seramai 123 penduduk di Kampung Sejahtera menerima geran tanah masing-masing selepas 44 tahun menunggu.

Katanya, geran itu diserahkan selepas kerajaan negeri melalui proses undang-undang membuat 'cabut keluar' kampung itu dari kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).

"Semuanya 230 orang, baki yang selebihnya akan dapat selepas merekabayar premium tanah, mereka akan dapat geran," katanya. - myMetro