JOHOR BAHRU -Seramai 15 lelaki tempatan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Larkin hari ini berikutan kecewa dengan seorang peguam yang memuat naik gambar dan kenyataan berbaur penghinaan terhadap institusi diraja serta Islam menerusi Facebook.
Muhammad Kamil Abdul Radzak, 26, dari Sungai Tiram di sini yang mewakili kumpulan pemuda berkenaan berkata, tindakan peguam itu muat naik beberapa keping gambar anjing peliharaannya dan memberi gelaran 'Datuk Seri, Datuk Seri Paduka dan Datuk Wira' jelas berniat jahat.
Menurutnya, hantaran yang dibuat itu adalah penghinaan kepada institusi raja dan perlembagaan yang menganugerahkan gelaran terbabit kepada individu dipilih.
"Bukan itu sahaja peguam berkenaan juga memuat naik gambar anjingnya dengan memakai tudung dengan menyatakan 'adik Melayu saya di rumah pakai tudung', ini satu penghinaan yang tidak boleh diterima akal dilakukan seorang peguam.
"Apa sebenarnya motif peguam ini sehingga langsung tidak menghormati institusi diraja dan sensitiviti umat Islam? Atau adakah sesiapa yang akan mempertahankan dia di belakangnya," tanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis.
Sementara itu, Muhammad Haikal Mohd Dzul, 26, dari Kebun Teh di sini mahukan tindakan segera dikenakan terhadap peguam terbabit dan tidak perlu permohonan maaf kerana perbuatan itu amat kurang ajar dan boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.
"Kita tidak mahu disebabkan beberapa individu yang busuk hati seperti ini akan menjejaskan hubungan antara kaum, malah kita tidak mahu peritiwa 13 Mei tercetus lagi," katanya.
Sementara itu, Mohd Fauzan Azman, 35, dari Taman Setia Indah berkata, perbuatan lelaki berkenaan seharusnya diambil tindakan segera supaya ia tidak diulangi.
"Saya berharap polis akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap peguam berkenaan dan laporan tersebut juga dibuat supaya dapat memberi kesedaran kepada masyarakat.
"Masyarakat perlu tahu jangan sewenang-wenangnya membuat tindakan sebegini untuk menghina apa-apa gelaran diberikan istana. Kita perlu bersama menjaga kedaulatan, Perlembagaan dan undang-undang negara ini," katanya.
Tindakan biadab itu mengundang rasa tidak puas hati orang ramai dan mahukan peguam berkenaan yang menggunakan nama William HS Foo dalam akaun FB pada Oktober dan Disember tahun lalu dikenakan hukuman setimpal.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan akan dilakukan.
Semakan di FB peguam berkenaan mendapati gambar berkenaan sudah dipadamkan dan usaha mendapat komen beliau belum berjaya. - BH Online