Penduduk Sg Lalang Berdemo Tuntut SADA Selesai Masalah Air


ALOR SETAR - Inilah keadaan terkini yang berlaku di Sungai Petani yang dikatakan telah dibelenggu masalah bekalan air bersih sejak kira-kira tempoh tiga tahun lalu (2020).

Antara penduduk yang terjejas adalah di Taman Seri Bayu 2, Sungai Lalang, yang mengadakan demonstrasi aman baru-baru ini dan mendesak agar Syarikat Air Darul Aman (SADA) serta pihak berkaitan mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah yang dihadapi.

"Keadaan terkini di sekitar penduduk TAMAN SERI BAYU 2, SUNGAI LALANG, SUNGAI PETANI, KEDAH.

"Dah 3 tahun isu air membelenggu masyarakat tempatan.. 

"Mohon pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan pihak tertentu ambil tindakan dan jalan penyelesaian dengan kadar segera.", katanya yang dipetik dari laman page Kedah Kini.

Nukilan tersebut turut membariskan serangkap pantun ringkas yang kemungkinan ditujukan kepada pihak terbabit, berbunyi;

"Buah chempedak,

"Buah nangka,

"Air tak dak, 

"Bukan JENAKA.


Selain itu, keluhan rakyat Kedah itu turut ditularkan di page Penduduk Sungai Petani (PSP) dan dikongsikan oleh pemilik akaun facebook, Arezn Azaham yang mengaku turut terkesan dengan masalah bekalan air.

"terkesan jugak ni...." tulisnya ringkas.



SADA ditubuhkan pada awal 2010 menggantikan Jabatan Bekalan Air (JBA) Kedah oleh Kerajaan PAS di bawah pentadbiran Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Razak bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan dan kualiti air di negeri Kedah.

Kedah ketika itu telah pun kesukaran bekalan air khususnya di kawasan rendah dan musim kemarau, namun Almarhum Ust Azizan menyatakan telah membekal berjuta liter air setiap hari ke kawasan yang terjejas.

Menurut Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor yang ketika itu menjawat jawatan Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, SADA pada 2010 telah memperoleh keuntungan RM27 juta, namun hanya diumumkan sebanyak RM8 juta sahaja.

"SADA catat untung sebenar RM27 juta tetapi diisytiharkan hanya RM8 juta, selebihnya (RM19 juta) digunakan untuk menambah perbelanjaan modal (capex) masa depan seperti mengganti pam, membina rumah pam dan membeli kenderaan yang diperlukan," tulisnya di Harakah Daily, pada Januari 2020.

Namun begitu, pembinaan bangunan Menara SADA telah dikecam ramai rakyat Kedah ekoran kemampuan syarikat air itu yang sanggup berhutang membina bangunan baharu untuk pengurusan tertingginya, namun gagal memberi khidmat bekalan air yang baik kepada mereka.

Pertukaran kembali Kerajaan Negeri Kedah kepada Barisan Nasional (BN) pada 2013 di bawah pentadbiran Dato' Seri Mukhriz Mahathir juga tidak membawa sebarang inisiatif signifikan terhadap menyelesaikan masalah bekalan air di negeri Kedah.

Pun begitu, setelah Mukhriz dilucutkan jawatan MB pada 2016 dan digantikan dengan Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang sering dihina "mat lena" kerana gambarnya dirakam kamera ketika mengerdipkan mata, barulah dimulakan inisiatif yang agak serius menyelesaikan masalah tersebut.

Pada ketika itu, masalah bekalan air di Kedah semakin meruncing dan pada Julai 2016, satu mesyuarat Krisis Bekalan Air dibuat dan ditubuhkan sebuah jawatankuasa "Task Force" yang dipengerusikan Exconya, Dato' Badrol Hisham Hashim bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Bakar Din.

Difahamkan, jawatankuasa Task Force tersebut turut menyaksikan penglibatan orang lama SADA yang sering dipuji Sanusi, iaitu bekas CEO SADA, Almarhum Dato' Azmi Din, yang dikatakan terbabit pada awal penubuhan syarikat tersebut.

Rentetan itu, pada akhir tahun 2017, Ahmad Bashah ketika membentang Bajet Kedah 2018  telah memperuntukkan hampir RM1 bilion untuk menamatkan masalah bekalan air negeri Kedah, termasuk projek menaiktaraf 5 Loji Rawatan Air (LRA) yang sering meniti dibibir Sanusi, Menteri Besar Kedah sekarang.

Namun begitu, pertukaran Kerajaan Negeri Kedah yang diambil alih kembali oleh Mukhriz di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menangguhkan projek-projek berimpak tinggi berkenaan atas alasan "kaji semula" dan memakan masa yang panjang untuk dikaji.

Walau bagaimanapun, PH kemudian hilang kuasa di Kedah ekoran krisis politik dalamannya di peringkat Persekutuan, menyaksikan PAS membentuk Kerajaan Negeri Kedah bersama sokongan BN dan 6 Adun PPBM.

Difahamkan hanya seorang Adun BN dilantik sebagai Exco, manakala semua 6 Adun PPBM yang keluar PH telah dilantik Sanusi sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah yang diketuainya, berkemungkinan sebagai "timbal balas".

Inisiatif bekas MB yang sering dihina "mat lena" itulah yang diteruskan Adun BN yang kebetulan dilantik ke portfolio berkaitan dan cadangan tersebut direstui oleh Sanusi, yang turut berjawatan Pengerusi SADA, jawatan tertinggi yang memegang kuasa penuh syarikat air tersebut.

Gerak dimulakan oleh "mat lena", setelah ditangguh hampir 2 tahun oleh Mukhriz PH, projek-projek berimpak tinggi yang difikirkan "mat lena" itulah yang kini diteruskan oleh Sanusi mengikut versi yang diusahakan bekas Exconya yang meletak jawatan.

Bagaimanapun, terpaksalah rakyat negeri Kedah yang terjejas bekalan air bersih menunggu projek-projek berkenaan siap sepenuhnya dan berdoa agar pada masa yang sama SADA segera selesaikan masalah kadar NRW di negeri ini yang terlalu tinggi. - Kedahnews.com