REE Kedah: Explorasi Atau Curi?


SIK - Selepas kira-kira tiga bulan kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, di sini dikesan, kerja-kerja penggalian dilaporkan kembali ke lokasi berkenaan.

Perkembangan itu mengundang persoalan, sama ada ia adalah eksplorasi yang dibenarkan kerajaan negeri atau aktiviti mencuri bijih sangat berharga itu berulang lagi.

Kemungkinan hasil bumi dikenali 'lantanid' bernilai tinggi itu dikeluarkan secara tidak sah tidak boleh ditolak, begitu juga kemungkinan ada pihak berselindung di sebalik kebenaran kerja penerokaan REE yang diberikan kerajaan negeri, awal tahun ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan simpanan REE tidak beradioaktif di Kedah dianggar bernilai lebih RM60 bilion, kebanyakannya berada sekitar Sik dan Ulu Muda.

Terdahulu pada 10 Januari lalu, Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat tempatan dan sebuah syarikat asing bagi tujuan kajian, pengumpulan maklumat dan perkongsian kepakaran penerokaan REE di negeri ini.

Tidak lama kemudian, kerja ekplorasi dimulakan dengan pengendalian oleh tenaga kerja asing sepenuhnya, yang dikatakan mempunyai kemahiran tinggi dalam proses mengesktrak REE.

Berikutan itu, timbul tanda tanya dalam kalangan penduduk, adakah benar MoU itu terhad pada aktiviti eksplorasi atau kegiatan mengeluarkan REE secara tidak sah berulang lagi.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri yang juga aktivis masyarakat, Mahadzir Abd Hamid, berkata kebimbangan kembali apabila penduduk Kampung Chong dan Kampung Sungai Senam melihat lori membawa pelbagai peralatan menggali masuk ke Bukit Enggang.

Lebih mencurigakan, aktiviti itu dikatakan dibuat secara tertutup di sekitar Kompartmen 13,14 dan 15 di Hutan Simpan Bukit Enggang, kira-kira enam kilometer dari dua perkampungan berkenaan.

Kata Mahadzir, penduduk masih terkejut dengan kes kecurian REE di hutan simpan berkenaan pada Oktober tahun lalu yang menyaksikan seorang lelaki warga asing dikenakan kompaun RM630,000.

"Sebelum ini, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) dilaporkan merampas semua REE yang dicuri dan menyita semua jentera di tapak cari gali, tetapi tiada jentera yang dilihat dibawa keluar dari lokasi terbabit.

"Kebanyakan peralatan dan kelengkapan termasuk paip yang diguna bagi menggali REE juga masih ada di tapak berkenaan, malah penduduk lihat sendiri ada lagi pekerja warga asing di sekitar Bukit Enggang.

"Disebabkan itu, timbul kebimbangan apabila kebenaran penerokaan diberikan oleh kerajaan negeri, bimbang ada pihak ambil kesempatan 'mencuri' REE seperti yang berlaku tahun lalu," katanya ketika ditemui.

Mahadzir berkata, kesan kegiatan mengorek REE secara tidak sah sebelum ini boleh dilihat daripada pencemaran Sungai Senam, dipercayai akibat pelepasan sisa bahan kimia yang diguna bagi mengekstrak REE ke dalam sungai.

"Kita minta Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan ujian kualiti air di Sungai Senam yang turut diguna penduduk sekitar. Kita bimbang kalau ada kandungan logam berat yang tinggi dalam Sungai Senam kerana sungai ini mengalir ke Sungai Jeneri dan Sungai Muda yang jadi sumber utama air bersih rakyat.

"Sekiranya keadaan ini terjadi, maka nasib dan kesihatan jutaan rakyat Kedah, Pulau Pinang dan Perlis yang secara bersama menggunakan sumber air dari Sungai Muda, dikhuatiri terjejas dalam jangka panjang," katanya.

Penduduk sekitar kawasan hutan simpan berkenaan turut berharap tindakan sewajarnya yang lebih menyeluruh dapat diambil pihak berkuasa bagi memastikan kegiatan mencuri REE di kawasan itu tidak berulang lagi.

Zulkefly Hassan, 54, dari Kampung Chong, mendakwa melihat sendiri lori membawa masuk peralatan dan bahan kimia dipercayai bagi kerja mengeluarkan REE dari tapak yang diserbu pihak berkuasa, tahun lalu.

"Bahan kimia terbabit dipercayai dihasilkan di luar negara berdasarkan tulisan pada guni. Penduduk pelik kerana jika mahu buat kajian pun, rasanya tidak perlu bawa begitu banyak peralatan dan bahan kimia.

"Kami lihat sendiri sekurang-kurangnya 10 kali lori ulang alik guna jalan kampung naik ke Bukit Enggang. Kenderaan pacuan empat roda dipandu bukan orang tempatan juga makin kerap dilihat masuk ke Bukit Enggang setiap hari, dipercayai untuk kerja mengorek REE seperti tahun lalu," katanya.

Zulkefly berkata, sejak sekian lama, penduduk kampung terpaksa 'menelan' debu dan habuk setiap kali kenderaan berat keluar masuk melalui jalan kampung menuju ke bukit berkenaan.

"Kami tak tahu sampai bila keadaan ini akan berlarutan. Dulu mereka korek banyak REE, lori ulang alik setiap hari keluarkan bahan itu, dikatakan itu hanya baja pokok durian. Baru-baru ini, mereka sambung lagi kerja, bawa banyak kelengkapan yang tiada kaitan dengan projek tanam durian," katanya.

Muhammad Mursyidi Morad, 71, turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kerana keselamatan penduduk harus diberi keutamaan, tambahan pula rumahnya terletak betul-betul di hadapan simpang laluan naik turun ke Bukit Enggang.

"Beberapa kali ada kemalangan termasuk lori bawa REE tahun lalu. Hanya selepas itu, baru terbongkar kegiatan angkut keluar bahan itu. Nyawa penduduk patut jadi perkara utama, lori dan jentera berat membahayakan penduduk terutama kanak-kanak, jadi kami harap masalah ini tak berulang," katanya.

MoU kongsi kepakaran potensi penerokaan REE Kedah

Memorandum persefahaman (MoU) dijalin Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah dengan dua syarikat yang membentuk usaha sama berkait unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik, bukan untuk tujuan pengeluaran bijih bernilai berkenaan.

Persefahaman dimeterai dengan syarikat usaha sama, masing-masing sebuah syarikat tempatan dan sebuah syarikat asing itu adalah bagi tujuan kajian, pengumpulan maklumat dan perkongsian kepakaran potensi penerokaan REE di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata kebenaran bagi tujuan eksplorasi REE yang dikenali sebagai 'lantanid' di kawasan hutan simpan terbabit ketika ini, masih dalam pertimbangan.

"Sebelum ini, kita beri MBI dan syarikat usaha sama untuk buat ladang hutan di Bukit Enggang. Bagi permit eksplorasi REE pula, ia masih dalam pertimbangan," katanya kepada BH.

Mengenai kebimbangan penduduk sekitar Bukit Enggang terhadap kemungkinan aktiviti mengeluarkan REE secara tidak sah dari kawasan itu berulang seperti Oktober tahun lalu, Muhammad Sanusi memberi jaminan akan mendapatkan maklumat berhubung perkara terbabit.

"Kerajaan negeri ada banyak agensi, kena periksa dulu kerana ada agensi yang bertanggungjawab pantau," katanya.

Menurut Menteri Besar, selepas berlaku kecurian REE di Bukit Enggang sebelum, ini, tapak berkenaan dicadang dijadikan lokasi pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) unsur nadir bumi.

"Ada perbincangan sebelum ini agar kawasan yang (REE) dicuri itu dibuat tapak R&D kerana bahan itu sudah ada di sana, kalau kita musnahkan, maka jadi kerugian.

"Sumber bumi ini sudah dikeluarkan di beberapa negeri sejak beberapa tahun lamanya, tetapi tidak pernah diisytiharkan sebagai REE, hanya Kedah berani isytihar bahawa ini adalah REE," katanya lagi.

Beliau turut membidas pihak tertentu yang mendakwa pakar dalam industri REE sehingga menganjurkan forum dan meletakkan nilai komersial pada bahan berkenaan.

"Sebelum ekstrak REE, kajian perlu dibuat terlebih dulu di sesuatu tapak yang dikenal pasti untuk tentukan elemen dan kualiti bahan berkenaan. Jadi, saya hairan apabila ada orang yang tak terlibat, tetapi nampak macam pandai sehingga buat forum, tahu kaedah ekstrak, tahu semua harga REE.

"Saya takut mereka yang jadi pencuri itu, bukan tuduh, tapi nampak pandai sangat. Sebab itu, kita masih tunggu prosedur operasi standard (SOP) untuk ekstrak REE, kena buat penyelidikan dulu kerana kita tak ada pengalaman," katanya. - BH Online